Mahkamah perintah Tajuddin bayar kos RM120,000 kepada Khalid dan KiniTV


Mahkamah Rayuan perintah bekas ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman membayar kos RM120,000 kepada Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad dan KiniTV Sdn Bhd. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2023.

MAHKAMAH Rayuan memerintahkan bekas ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman membayar kos RM120,000 kepada bekas Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad dan KiniTV Sdn Bhd.

Khalid dan KiniTV mendapat kebenaran untuk meneruskan rayuan mereka bagi mendapatkan kos daripada Tajuddin yang saman fitnahnya ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan S. Nantha Balan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Dr Choo Kah Sing, dalam keputusan sebulat suara, memerintahkan Tajuddin membayar kos RM60,000 masing-masing kepada Khalid dan KiniTV.

“Kos termasuk kos perbicaraan Mahkamah Tinggi, kebenaran untuk merayu di Mahkamah Rayuan dan untuk prosiding hari ini,” kata Nantha Balan, ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak memberikan kos kepada Khalid dan KiniTV.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi meninggalkan amalan biasa dengan tidak memberikan kos kepada defendan (Khalid dan KiniTV) selepas mereka berjaya dalam kes mereka

“Hakim itu melakukannya atas kerelaan sendiri tanpa memberi peluang kepada pihak-pihak untuk berhujah mengenai kos. Satu-satunya alasan, seperti yang dikatakan oleh hakim itu ialah kes kepentingan awam. Undang-undang adalah jelas dan kos sepatutnya diberikan,” katanya.

Nantha Balan mempersoalkan sama ada ini memang kes kepentingan awam hanya kerana kedua-duanya adalah ahli Parlimen dan kenyataan media dibuat di lobi.

“Saya rasa itu tidak menjadikannya sebagai kes kepentingan awam tetapi orang ramai mungkin berminat dengan perkara itu,” katanya sambil menambah Khalid dan KiniTV berhak menerima kos kerana terdapat banyak kerja yang terlibat kerana saman itu difailkan pada Februari 2017 dan perbicaraan berlangsung dari 2019 hingga 2021.

Dalam prosiding hari ini, peguam S.N. Nair dan K. Shanmuga, masing-masing mewakili Khalid dan KiniTV, manakala Hasnal Rezua Merican mewakili Tajuddin.

Pada 22 Februari, 2022 Mahkamah Tinggi menolak saman Tajuddin terhadap Khalid, KiniTV dan NSTP tanpa kos.

Tajuddin memfailkan saman itu pada 26 April, 2017, mendakwa Khalid mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya termasuk memanggilnya dengan kata-kata kesat ketika mengadakan dua sidang media di lobi Parlimen, masing-masing pada 21 dan 24 November, 2016.

Beliau mendakwa kenyataan pertama Khalid diterbitkan NSTP melalui artikel bertajuk “Fury over Deputy Minister’s Remark” pada 22 November, 2016 dan kenyataan kedua defendan disiarkan di KiniTV pada 24 November tahun sama manakala kedua-dua kenyataan itu juga diterbitkan di Youtube yang boleh diakses orang ramai.

Tajuddin mendakwa kedua-dua kenyataan itu antara lain bermaksud, beliau tidak layak menjadi ahli Parlimen dan bertindak bertentangan dengan ajaran serta budaya Islam. – Bernama, 19 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen