189 mayat reput dikeluarkan dari rumah pengebumian di Colorado


SEKURANG-KURANGNYA 189 mayat reput dikeluarkan dari rumah pengurusan mayat di negeri Colorado, AS, meningkat daripada 115 yang dilaporkan awal bulan ini, menurut pihak berkuasa.

Mayat yang tidak diuruskan dengan betul itu dijumpai pada 4 Oktober di Rumah Pengebumian Return to Nature di Penrose, sebuah bandar di Fremont County selepas polis menyiasat kemudahan pengebumian “mesra alam” berkenaan.

“Pada 13 Oktober, 2023 semua mayat dikeluarkan dari Rumah Pengebumian Return to Nature di Penrose. Usaha itu diselaraskan oleh Pejabat Koroner Daerah Fremont dengan sokongan daripada beberapa pihak,” menurut Biro Penyiasatan Colorado dalam kenyataan media, lapor Xinhua.

Agensi itu berkata, sekurang-kurangnya 189 mayat dikeluarkan dan dibawa ke Pejabat Koroner Daerah El Paso tetapi angka kematian boleh berubah apabila proses identifikasi dan penyiasatan diteruskan.

Pegawai berkata fasa kedua proses komprehensif termasuk mengesahkan identiti dan memaklumkan kepada keluarga.

“Sementara siasatan bagi insiden ini berterusan, kami juga terus memberi tumpuan kepada keluarga yang terjejas.

“Kami ingin melakukan segala yang kami mampu untuk membantu keluarga yang terlibat ketika kami beralih ke fasa seterusnya dalam proses ini,” kata Ketua Polis Fremont County Allen Cooper.

Rumah pengebumian Return to Nature Funeral Home yang dimiliki dan dikendalikan secara persendirian beroperasi sejak tiga generasi.

Rumah pengebumian itu berkonsepkan pengebumian hijau yang kembali kepada cara pengebumian tradisional. Tiada bahan kimia, logam atau bahan bukan semulajadi.

Rangkaian radio tempatan, Colorado Public Radio menjelaskan di bawah undang-undang negeri, pengebumian hijau adalah dibenarkan, tetapi kanun negeri memerlukan mana-mana mayat yang tidak dikebumikan dalam masa 24 jam perlu disejukkan dengan betul. – Bernama, 19 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen