Israel serang selatan Syria


Serangan udara Israel pada Sabtu menyasarkan lapangan terbang Aleppo, mencederakan lima orang dan menyebabkan lapangan terbang itu tidak beroperasi. – Gambar AFP, 19 Oktober, 2023.

ISRAEL menyerang penempatan tentera Syria di selatan negara yang dilanda perang itu, kata NGO pemantau perang pada Rabu.

“Bunyi letupan kedengaran di wilayah Quneitra selepas serangan Israel terhadap kedudukan tentera Syria,” kata Syrian Observatory for Human Rights yang berpangkalan di UK, yang mempunyai rangkaian sumber yang luas di negara itu.

Bunyi letupan juga kedengaran di Bukit Golan, kata NGO itu, tanpa menyatakan sumbernya.

Serangan di Quneitra menyebabkan kerosakan material, kata organisasi itu.

Serbuan itu serentak dengan pengumuman tentera Israel di X mengenai serangan terhadap “kedudukan pengganas” Hizbullah—sekutu rejim Syria dan musuh Israel—di Lubnan, yang bersempadan dengan Golan.

Sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober, insiden berbalas tembakan juga meningkat di sekitar kawasan sempadan Israel-Lubnan.

Pertempuran di sana menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh di pihak Lubnan.

Kebanyakan yang mati adalah pejuang Hizbullah, selain seorang wartawan Reuters dan dua orang awam.

Di pihak Israel, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh.

Pada 10 Oktober, buat pertama kali sejak serangan mengejut Hamas, tentera Israel mengumumkan ia melepaskan tembakan ke Syria dari Bukit Golan.

Serangan udara Israel pada Sabtu menyasarkan lapangan terbang Aleppo, mencederakan lima orang dan menyebabkan lapangan terbang itu tidak beroperasi.

Serangan Israel sebelum ini pada 12 Oktober menyasarkan lapangan terbang Aleppo dan ibu negara Damsyik—kedua-duanya dikawal oleh kerajaan Syria.

Israel jarang mengulas mengenai serangan yang dilakukannya ke atas Syria, tetapi ia berulang kali mengatakan tidak akan membenarkan musuh ketatnya Iran, yang menyokong Damsyik, meluaskan jejaknya di sana. – AFP, 19 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen