RIBUAN orang berhimpun di seluruh dunia Arab dan Islam pada Rabu bagi membantah kematian ratusan nyawa dalam serangan ke atas hospital Gaza.
Kecaman tersebar luas di seluruh wilayah dan orang ramai yang marah berkumpul selepas gesaan daripada pergerakan Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan dan puak Palestin untuk menggerakkan massa.
“Mati Amerika, mati Israel,” laungan ratusan penyokong Hizbullah di pinggir selatan Beirut.
“Orang Israel akan cuba menyasarkan lebih banyak hospital, pekerja penyelamat, sukarelawan pertahanan awam dan penduduk Gaza tanpa berputus asa, untuk mendesak penduduk Gaza keluar,” kata pegawai kanan Hizbullah Hashem Safieddine kepada penunjuk perasaan.
Penunjuk perasaan turun ke jalan-jalan di bandar Ramallah dan Nablus Tebing Barat, sambil menjerit “Bebaskan, bebaskan Palestin”.
Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain, yang menjalin hubungan dengan Israel dalam Perjanjian Abraham 2020, mengkritik Israel kerana menjadi dalang serangan itu, ketika ia membalas serangan pejuang Hamas berhubung serangan pada 7 Oktober.
“Emiriah Arab Bersatu mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel… mengakibatkan kematian dan kecederaan beratus-ratus orang,” kata agensi berita rasmi UAE, WAM pada Rabu.
Di Bahrain, yang juga menormalisasikan hubungan dengan Israel pada 2020, menyaksikan puluhan penunjuk perasaan berarak ke arah kedutaan Israel di Manama sebelum disuraikan oleh polis, kata saksi kepada AFP.
Arab Saudi, yang menghentikan perbincangan mengenai potensi hubungan dengan Israel sejak keganasan berlaku, menyifatkan serangan itu sebagai “jenayah kejam yang dilakukan oleh pasukan pendudukan Israel”.
Qatar, salah satu penyokong utama Hamas, menyelar “pembunuhan beramai-ramai yang kejam”.
Maghribi, negara lain yang mengiktiraf Israel pada 2020, turut menyalahkannya atas serangan itu, begitu juga Mesir, yang menjadi negara Arab pertama yang menormalisasikan hubungan dengan Israel pada 1979.
Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi mengutuk sekeras-kerasnya “pengeboman Israel” ke atas hospital Ahli Arab, yang membawa kepada kematian ratusan mangsa tidak bersalah di kalangan rakyat Palestin di Gaza. – AFP, 19 Oktober, 2023.
Komen