AS$681 juta dalam akaun Najib hasil aktiviti haram, kata saksi


Najib Razak menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2023.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu AS$681 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Najib Razak pada 2013 adalah hasil daripada aktiviti haram.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) ACP Foo Wei Min berkata berdasarkan siasatannya AS$681 juta itu berasal daripada bon AS$3 bilion 1MDB dimasukkan ke dalam akaun Najib di Ambank yang nombor berakhir dengan 694 antara 22 Mac dan 10 April 2013.

Saksi pendakwaan ke-48 itu juga berkata sebelum AS$681 juta dimasukkan ke akaun itu akaun Najib mempunyai baki sebanyak RM879.8 juta yang beliau katakan sebagai daripada “sumber yang sah”.

Saksi berusia 47 tahun itu berkata beliau menggunakan kaedah siasatan ‘First In, First Out’ (FIFO) atau ‘Masuk Dahulu, Keluar Dahulu’ yang digunakannya untuk menentukan sama ada dana dalam akaun Najib adalah haram atau bersih.

Pada akhir prosiding hari ini di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Superintendan Kanan Nur Aida Arifin akan menjadi saksi seterusnya bagaimanapun mereka boleh tidak memanggilnya kerana mereka masih belum menyerahkan keterangan saksi kepada pembelaan.

“Selain itu pihak pendakwaan masih menunggu dokumen hari ini untuk dikemukakan sepenuhnya di mahkamah dan dimasukkan dalam kenyataan pegawai penyiasat sebelum menyerahkannya kepada pihak pembelaan.

“Pendakwaan hampir di penghujung kes. Pihak pembelaan masih belum menyelesaikan pemeriksaan balas terhadap beberapa saksi iaitu bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Dr Zeti Akhtar Aziz dan penganalisis BNM Adam Ariff Mohd Roslan,” kata pendakwa raya.

Hakim: Tiada lagi saksi lain?

Ahmad Akram: Itu akan menjadi saksi terakhir kita (pegawai penyiasat), Yang Arif.

Hakim Sequerah: Lepas tu tutup kes?

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar menjawab: “Pada peringkat ini Yang Arif, melainkan dan sehingga perkara lain timbul,”

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung 24 Oktober. – Bernama, 18 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen