Perikatan tidak bertanding PRK DUN Jepak, kata Hamzah


Setiausaha Agung Perikatan Nasional Hamzah Zainudin berkata keputusan parti tidak bertanding dalam PRK DUN Jepak dibuat Majlis Tertinggi PN hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2023.

PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak 4 November ini.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata keputusan itu dibuat Majlis Tertinggi PN hari ini.

“PN akan memberi tumpuan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada PRK yang akan diadakan pada 2 Disember depan.

“Pada waktu yang sama komponen-komponen parti PN juga sedang sibuk menguruskan Mesyuarat Agung Tahunan Parti di peringkat cawangan, bahagian dan nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Jepak pada 4 November ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 21 dan 31 Oktober.

PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Talib Zulpilip pada 15 September lepas.

PRK itu menyaksikan seramai 22,804 orang pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis. – Bernama, 18 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen