Penyelarasan subsidi pastikan kerajaan tidak bazir wang rakyat, kata PM


PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata penyelarasan subsidi yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 bagi memastikan kerajaan tidak membazirkan wang rakyat dengan menyenangkan lagi golongan yang mampu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata penyelarasan subsidi yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 bukan bertujuan membebankan rakyat.

Beliau berkata sebaliknya ia bagi memastikan kerajaan tidak membazirkan wang rakyat dengan menyenangkan lagi golongan yang mampu.

“Saya menekankan yang saya bukan anti-maha kaya, namun kita haruslah bersifat adil kepada golongan rentan yang memerlukan,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Berucap di simposium ‘The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia’ pagi tadi beliau menyentuh mengenai keutamaan dan tanggungjawab kerajaan dalam menutup ketirisan dan menghapus segala kebobrokan sebelum menimbangkan cukai penggunaan baharu.

“Sayugia, kerugian berpuluh bilion ringgit yang berdekad ditanggung kerajaan haruslah dicakup semula agar ia dapat dilabur demi kesejahteraan rakyat,” kata beliau.

Anwar berkata selain itu amat penting bagi kerajaan mengambil tanggungjawab dan menjaga tata kelola agar Malaysia menjadi sejahtera dan adil kepada semua.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani pada Jumaat lepas, beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pendekatan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa mulai tahun hadapan.

Hasil penjimatan subsidi ini sebahagiannya akan disalurkan terus untuk meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion, kata beliau. – Bernama, 18 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen