Kekosongan jawatan menteri akan diisi jika ada calon sesuai, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan diisi sekiranya ada calon sesuai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan diisi sekiranya ada calon sesuai.

Kekosongan jawatan itu berikutan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub pada Julai lepas dan penggantinya masih menjadi tanda tanya selain turut menimbulkan desas-desus akan berlaku rombakan Kabinet.

“Rombak Kabinet? Kena rombak ke? Untuk mengisi kekosongan? Bila ada calon sesuai,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri simposium The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia di Putrajaya hari ini.

Jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kini dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali.

Mengenai dakwaan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin yang Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid daripada Perikatan Nasional (PN) diugut supaya menyokong kerajaan, Anwar mahu dakwaan disertakan dengan bukti.

“Yang saya tahu saya belum jumpa (Iskandar Dzulkarnain), saya belum ada menghubunginya, saya tak hantar wakil, tak tahu siapa yang ugut.

“Kalau ada bukti dia kata, keluarkan jangan pakai main bedal saja,” kata beliau serta menambah tuduhan berkenaan adalah serius dan patut disiasat sepenuhnya.

Sebelum ini PN dilaporkan mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan akan didakwa atas kesalahan rasuah.

Ditanya mengenai sokongan Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu terhadap kepimpinannya, Anwar berkata beliau menghargai dan berterima kasih terhadapnya.

“Saya belum jumpa atau berhubung dengan beliau, tapi terima kasih di atas sokongan. Sama ada dia nak kekal dengan Perikatan Nasional adalah terpulang kepada dirinya,” kata beliau. – Bernama, 18 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen