Puluhan ribu hilang rumah akibat banjir di Ghana


Hampir 26,000 penduduk terpaksa tinggalkan rumah akibat hujan lebat dan banjir di Ghana. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2023.

BANJIR di timur Ghana berikutan hujan lebat menyebabkan hampir 26,000 penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka atas arahan pihak berkuasa, kata Pertubuhan Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMO) semalam.

Tanaman dilaporkan musnah dan sekolah ditutup selepas dua empangan hidro-elektrik melimpah di Akosombo dan Kpong.

“Kami memindahkan kebanyakan penduduk yang terjejas ke tempat selamat.

“Kira-kira 26,000 kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dipindahkan.

“Apa yang mereka perlukan ialah air, makanan dan ubat-ubatan, malah kami bekerjasama dengan kerajaan untuk menguruskannya,” kata Timbalan Ketua Pengarah NADMO Seji Saji.

Setakat ini, belum ada kes kematian dilaporkan. Seorang penjual makanan yang juga ibu dua anak, Mercy Tamakloe, 35, berkata semua barang miliknya lenyap begitu sahaja.

“Semuanya sudah tiada. Saya tidak tahu bagaimana untuk bangkit tetapi sekurang-kurangnya saya masih hidup,” katanya.

Sementara itu, seorang petani, David Fui Banini, berkata banjir berkenaan memusnahkan ladang jagungnya seluas 1.6 hektar.

Beliau menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan untuk memberi pampasan kerana musibah itu luar daripada kawalan mereka.

Tentera laut Ghana berkata beribu-ribu orang diselamatkan di Wilayah Volta, bersempadan dengan Togo, selepas paras air dari empangan meningkat.

“Setakat ini semua terkawal dan kami telah menyelamatkan lebih 8,000 penduduk di sembilan daerah yang terjejas di rantau ini,” kata Commodore EA, Kwafo.

Presiden Ghana Nana Akufo-Addo menubuhkan jawatankuasa untuk menyelaraskan usaha menyelamat secara berterusan. – AFP, 18 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen