Lebih 200 terbunuh serangan Israel di hospital Gaza


Penduduk Palestin yang cedera dalam serangan udara dirawat di hospital di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza, pada Sabtu. Pegawai Palestin berkata ratusan orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas hospital di Gaza. – Gambar EPA, 18 Oktober, 2023.

SERANGAN udara Israel ke atas perkarangan hospital Gaza pada Selasa membunuh sekurang-kurangnya 200 orang, kata kementerian kesihatan di wilayah Palestin yang dikendalikan Hamas.

“Seramai 200 hingga 300 orang yang kehilangan tempat tinggal terbunuh dalam serangan Israel di perkarangan hospital Ahli Arab di tengah Gaza,” kata kementerian itu.

“Ratusan mangsa masih berada di bawah runtuhan,” tambahnya.

Pejabat media kerajaan Hamas Gaza menyifatkan serangan itu sebagai “jenayah perang”.

Puluhan ribu keluarga berpusu-pusu ke hospital-hospital di Gaza mencari perlindungan daripada serangan tentera Israel yang kelihatan tidak berkesudahan.

Israel mengebom sasaran di Gaza sejak pejuang Hamas dari wilayah itu menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, mencetuskan perang yang menyebabkan ribuan maut di kedua-dua belah pihak.

“Hospital itu menempatkan beratus-ratus orang yang sakit dan cedera, dan orang ramai dipindahkan secara paksa dari rumah mereka kerana serangan lain,” kata satu kenyataan.

Rakaman Al Jazeera dari tempat kejadian menunjukkan pasukan perubatan dan orang awam menutup  mayat dengan beg atau selimut putih. Kesan darah dan beberapa kereta yang dibakar kelihatan di perkarangan hospital yang gelap.

Jurucakap tentera Israel Daniel Hagari memberitahu taklimat akhbar di televisyen: “Kami akan menelitinya… serangan berlaku sebentar tadi.”

Hospital menjadi tempat perlindungan bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal kerana ia tidak terkena serangan pengeboman Israel.

Kira-kira 3,000 orang terbunuh dalam serangan udara Israel di seluruh Semenanjung Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober. – AFP, 18 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen