Hujan lebat berterusan punca tanah runtuh Batang Kali, kata Zahid


Tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember itu menyaksikan 31 orang terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2023.

TIADA bukti kukuh menunjukkan aktiviti manusia menyumbang kepada tragedi tanah runtuh Batang Kali pada Disember tahun lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, laporan forensik mengenai tanah runtuh itu mendedahkan hujan adalah faktor utama yang menyebabkan kejadian itu.

“Laporan itu mendapati tanah runtuh itu berpunca daripada gabungan hujan lebat terkumpul selama lima hari sebelum kejadian dan juga pada bulan sebelumnya,” kata Zahid, yang mengetuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), dalam satu kenyataan hari ini.

“Hujan lebat menyebabkan cerun runtuh, mengakibatkan tapak perkhemahan termasuk Hill View, Farm View dan River Side ditimbus tanah yang membawa kepada kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa,” tambahnya.

“Siasatan mendapati tiada bukti kukuh aktiviti antropogenik menjadi faktor kepada tanah runtuh ini.”

Antropogenik secara amnya ditakrifkan sebagai pencemaran atau perubahan persekitaran yang berpunca daripada tindakan manusia.

Tragedi tanah runtuh pada 16 Disember itu menyaksikan 31 orang terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan dalam kejadian itu.

Zahid berkata, laporan penuh tragedi itu boleh diakses orang ramai menerusi laman web Nadma mulai 10 pagi Rabu.

Pada 5 Oktober lepas, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negeri bersetuju untuk mendedahkan laporan penuh mengenai tanah runtuh yang membawa maut itu.

Beliau berkata, laporan terperinci itu juga akan diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Kami kini boleh menyerahkannya kepada Nadma supaya mereka boleh memaparkannya di laman web mereka atau berkongsi dengan mereka yang perlu tahu.

“Ini akan diputuskan oleh pihak berkuasa kerana laporan itu sangat teknikal.

“Memaparkannya di laman web Nadma akan membolehkan semua orang melihatnya dan mengambil tindakan seterusnya. Ia adalah laporan teknikal yang memperincikan bagaimana tanah runtuh itu berlaku,” katanya.

Beliau berkata, nama pemilik tapak perkhemahan turut terkandung dalam laporan itu serta beberapa kawasan terjejas seperti hutan dan rizab jalan raya.

Mangsa serta waris mereka yang terkorban dalam kejadian itu sebelum ini meminta kerajaan mendedahkan laporan penuh bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Pada Januari lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata laporan penuh itu telah pun dibentangkan kepada Kabinet. – 17 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen