Firma China Longi labur RM1.8 bilion bina kilang fotovoltan di Serendah 


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz turut memuji komitmen padu Longi Green Energy terhadap pertumbuhan Malaysia.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2023.

LONGI Green Energy Technology Co dari China, membuat pelaburan berjumlah RM1.8 bilion bagi membina tiga kilang pengeluaran produk fotovoltan di Serendah, Selangor, yang dijangka siap menjelang Mac 2024. 

Longi merupakan pengeluar panel solar tersenarai dan terbesar China yang menumpukan usaha pengeluaran wafer silikon monohabluran.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata seiring dengan jangkaan pasaran fotovoltan mencatat pertumbuhan memberangsangkan iaitu unjuran lonjakan 29 peratus setahun, adalah wajar serta membanggakan apabila Malaysia berada di kedudukan hadapan dalam usaha hijau berkenaan.

“Sejajar dengan unjuran output Longi sebanyak 8.8 gigawatt apabila (kemudahan kilang) siap kelak, ini akan menempatkan kedudukan negara kita di peringkat global dalam aspek tenaga bersih dan mampan dengan pertumbuhan yang mengagumkan,” katanya pada majlis perasmian Kilang Modul Longi Malaysia di Serendah dekat sini, hari ini.

Ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pelaburan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Bahria Mohd Tamil.

Tengku Zafrul turut memuji komitmen padu Longi Green Energy terhadap pertumbuhan Malaysia dengan bertindak meningkatkan tenaga kerja dalam kalangan rakyat negara ini serta memilih Kuala Lumpur sebagai ibu pejabatnya bagi Asia Pasifik.

“(Tindakan) Longi ini hanya membuktikan lagi keyakinannya terhadap potensi besar yang ditawarkan oleh negara kita,” katanya. – Bernama, 17 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen