Konvoi bantuan di Mesir bergerak ke sempadan Gaza 


Lintasan Rafah di sempadan Gaza diserang sebanyak empat kali oleh rejim zionis menyebabkan sebahagian besarnya ditutup oleh pihak berkuasa. – Gambar AFP, 17 Oktober, 2023.

KONVOI bantuan kemanusiaan yang menunggu selama berhari-hari di Mesir menuju ke sempadan Rafah dengan kawasan Gaza yang terkepung, kata pegawai bantuan.

Wilayah yang disekat itu berdepan pengeboman Israel yang berterusan sejak Hamas melancarkan serangan terhadap Israel pada 7 Oktober.

Setakat ini Mesir menutup lintasan Rafah, untuk bantuan masuk atau warga asing yang cuba melarikan diri, kerana Israel berulang kali menyerang lintasan sempadan di bahagian Palestin.

“Kami telah tiba di terminal dan kini sedang menunggu langkah seterusnya,” kata Heba Rashed, yang mengendalikan kumpulan bantuan Mersal.

Beratus-ratus lagi lori menuju ke sepanjang jalan pantai untuk perjalanan sejauh 40 kilometer (25 batu) dari bandar El Arish ke Rafah, Mesir, kata pegawai bantuan lain.

Seorang pegawai Bulan Sabit Merah mengesahkan konvoi bantuan sedang berkumpul di sebelah Mesir di bandar sempadan Rafah.

“Kami tidak diberitahu pukul berapa kami akan menyeberang tetapi kami diminta untuk menuju ke Rafah,” kata pegawai Bulan Sabit Merah Mesir itu, yang enggan identitinya didedahkan.

“Anda boleh katakan kami hampir dengan perjanjian mengenai kemasukan bantuan dan keluarnya warga asing,” kata pegawai itu, yang sedang menuju ke Rafah.

Tentera Israel masih terus menerus melancarkan serangan ke atas Gaza.

Tindakan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 2,750 orang terbunuh di Gaza, menurut pegawai kesihatan di wilayah itu. Korban di kedua-dua pihak kebanyakannya adalah orang awam.

Penghantaran bantuan daripada pelbagai agensi dan kerajaan penderma terkumpul di Semenanjung Sinai Mesir sejak beberapa hari lalu di tengah-tengah rayuan yang meningkat kepada Israel untuk mewujudkan koridor selamat ke Semenanjung Gaza.

Kesatuan Eropah menggesa agar jambatan bantuan diwujudkan untuk 2.4 juta penduduk di Gaza, yang kebanyakannya telah dihalau dari rumah mereka.

Selama 10 hari pengeboman artileri dan serangan udara, tentera Israel telah menyerang sempadan Rafah sebanyak empat kali, menyebabkan pihak berkuasa menutup sebahagian besarnya. – AFP, 17 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen