New York hadkan tempoh masa tinggal keluarga migran


Lebih 64,000 orang daripada 126,700 yang tiba sejak musim bunga tahun lalu di New York. – Gambar EPA, 17 Oktober, 2023.

NEW York akan mula mengehadkan tempoh masa tinggal keluarga migran di pusat perlindungan bandar, umum Datuk Bandar semalam.

Datuk Bandar Eric Adams berkata bandar terbesar AS itu kini padat dan tidak boleh terus menerima kadar kemasukan migran yang dilihat semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Selama lebih setahun New York City mengetuai tindak balas terhadap krisis nasional ini tetapi sumber tambahan yang ketara, penyelarasan dan sokongan diperlukan daripada semua peringkat kerajaan,” kata Adams.

New York akan mula memberikan notis 60 hari kepada keluarga pencari suaka dan memberi amaran kepada mereka untuk mencari perumahan alternatif.

Minggu lalu sahaja, purata 600 orang setiap hari tiba di bandar itu yang mempunyai 8.5 juta penduduk, Datuk Bandar Demokrat mengumumkan dalam satu kenyataan.

Ketika ini lebih 64,000 orang daripada 126,700 yang tiba sejak musim bunga tahun lalu bergantung kepada perkhidmatan perbandaran.

Ketibaan mereka kebanyakannya dihantar dengan bas dari negeri-negeri ditadbir oleh Republikan seperti Texas sebagai protes terhadap dasar imigresen Presiden Demokrat Joe Biden.

Undang-undang perbandangan mewajibkan menyediakan penginapan percuma kepada sesiapa yang membuat permohonan.

Ogos lalu pejabat datuk bandar mengumumkan krisis imigresen akan menelan belanja wang bandar itu sebanyak AS$12 bilion dalam tempoh tiga tahun.

Bandar itu yang membuka lebih 210 pusat perlindungan kecemasan termasuk 17 pusat bantuan kemanusiaan berskala besar tidak lama lagi akan membuka pusat baharu di Lapangan Terbang Tentera Laut Floyd Bennett Field di Brooklyn di mana ia akan menempatkan 500 keluarga dengan anak-anak.

Datuk Bandar New York, bekas pegawai polis yang ke Mexico untuk menggesa pendatang supaya tidak lagi melarikan diri ke bandar itu menuntut kerajaan persekutuan menawarkan “penyelesaian nasional kepada krisis nasional,” satu seruan yang disertai oleh gabenor Demokrat dari negeri lain terjejas oleh krisis migrasi. – AFP, 17 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen