MAHKAMAH Rayuan menangguhkan keputusannya terhadap rayuan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad bagi sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.4 juta atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta berkaitan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak.
Panel tiga hakim terdiri daripada Vazeer Alam Mydin Meera, Ahmad Zaidi Ibrahim dan S M Komathy Suppiah menangguhkan keputusan itu selepas selesai mendengar hujah peguam Salehuddin Saidin yang mewakili Isa dan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz yang mewakili pendakwaan.
Vazeer, yang mengetuai panel itu berkata pejabat pendaftaran Mahkamah Rayuan akan memaklumkan kepada pihak pendakwaan dan pembelaan mengenai tarikh keputusan itu.
Mohd Isa, 73, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC di Putrajaya antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021.
Beliau dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1.5 juta selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai.
Dalam prosiding hari ini, Salehuddin berhujah bahawa hakim perbicaraan sangat bergantung kepada keterangan bekas pembantu Mohd Isa, Muhammad Zahid Arip yang keterangannya bercanggah semasa pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.
Beliau berkata Muhammad Zahid menafikan semasa pemeriksaan balas mengenai fakta dia telah menyoal ahli perniagaan Sarawak Ikhwan Zaidel berhubung dakwaan dana politik yang dikatakan diminta oleh Mohd Isa melalui panggilan telefon, sedangkan Ikhwan, dalam kenyataannya, menyatakan Muhammad Zahid yang menanyakannya perkara itu.
“Jadi pihak siapa sebenarnya yang membuat permintaan untuk siapa? Adakah selamat untuk mahkamah mensabitkan Mohd Isa berdasarkan keterangan yang nyata tercemar dengan kepentingan peribadi kedua-dua saksi itu?” kata Salehuddin.
Beliau berkata anak guamnya perlu dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan kerana fakta kes menunjukkan tiada bukti Mohd Isa menerima wang tersebut.
Beliau juga berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah menggunakan prinsip undang-undang yang salah.
Hakim gagal memberi perhatian sewajarnya kepada semua keterangan di hadapan mahkamah dan beliau juga tidak menilai keseluruhan keterangan sebelum membuat kesimpulan, katanya.
Afzainizam bagaimanapun membalas dengan mengatakan bahawa Mohd Isa berhasrat untuk mendapatkan suapan itu, walaupun tidak berurusan secara langsung dengan Ikhwan dalam mana-mana urus niaga yang melibatkan jumlah itu dibayar, suapan itu diterima olehnya (Mohd Isa) melalui Zahid.
Katanya, Zahid menyerahkan wang itu kepada Mohd Isa.
Beliau berkata suapan itu dibayar kerana bimbang Mohd Isa mungkin menggunakan pengaruhnya untuk membatalkan atau menangguhkan pembayaran bagi pengambilalihan hotel itu, sambil menambah bahawa anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd sebelum ini menolak cadangan untuk membeli hotel itu.
Beliau berkata terdapat keterangan daripada saksi pendakwaan termasuk Ikhwan bahawa jumlah wang itu dikeluarkan dan diberikan kepada Zahid untuk diberikan kepada Mohd Isa. – Bernama, 16 Oktober, 2023.
Komen