Sepanyol, Scotland, Turkiye layak ke Euro 2024 


GOL tunggal pemain remaja Gavi sudah memadai bagi Sepanyol mengesahkan tempat ke pusingan akhir Euro 2024 dengan kemenangan 1-0 ke atas Norway.

Jaringan kelima pemain tengah berusia 19 tahun itu memastikan juara 2008 dan 2012 itu mara dalam Kumpulan A ke peringkat seterusnya bersama Scotland, lapor Agensi Berita PA Media.

Kemenangan Georgia 4-0 ke atas Cyprus sebelum itu telah mengekalkan peluang pasukan itu untuk terus bersaing dalam Kumpulan A tetapi keputusan perlawanan Sepanyol mengakhiri prospek itu.

Turkiye dari Kumpulan D turut melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan di Jerman selepas mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Latvia, dengan bekas penyerang Everton, Cenk Tosun menjaringkan dua gol.

Bagaimanapun, Croatia tergelincir di tempat ketiga Kumpulan D di bawah Wales selepas gol Mario Pasalic pada minit ke-75 tidak cukup untuk mencetuskan kebangkitan.

Dalam perlawanan lain, jaringan penalti pemain tengah West Ham Tomas Soucek pada minit ke-76 sudah memadai untuk Republik Czech menewaskan Kepulauan Faroe 1-0 dalam aksi Kumpulan E.

Namun, setiap pasukan dalam kumpulan itu masih berpeluang selepas Poland hanya seri 1-1 di tempat sendiri menentang Moldova, mengekalkan kedudukan masing-masing di tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, harapan Belarus untuk menamatkan saingan dalam kelompok dua teratas Kumpulan I berakhir selepas Switzerland menjaringkan dua gol dalam dua minit terakhir untuk mencatatkan keputusan seri 3-3.

Ini selepas Romania yang menduduki tempat teratas kumpulan terus beraksi cemerlang dengan kemenangan 4-0 ke atas Andorra. – Bernama, 16 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen