Rampasan dadah RM1.4 juta, pelajar sekolah menengah antara 5 ditahan 


POLIS menahan tiga lelaki dan dua wanita, termasuk seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun susulan penemuan dadah syabu seberat 42.2 kilogram (kg) bernilai RM1.4 juta di sebuah hotel di bandar raya ini Khamis lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kelima-lima suspek berumur 17 hingga 22 tahun yang berasal dari Kuching itu ditahan dalam serbuan di sekitar Kuching dan Bintawa pada hari berkenaan.

Beliau berkata dadah yang diseludup masuk ke sini sebagai bungkusan teh cina itu dipercayai diperoleh daripada rakan mereka di Semenanjung Malaysia, dan polis turut merampas sebuah kereta Perodua Aruz dianggarkan bernilai RM50,000 daripada kumpulan itu.

“Dadah ini dibawa masuk dari Kuala Lumpur oleh dua suspek yang bertindak sebagai kurier menerusi penerbangan. Dadah ini adalah untuk pasaran di Kuching, Miri dan Bintulu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.

Menurutnya salah seorang suspek yang ditangkap mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, serta satu rekod di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mohd Azman berkata kesemua mereka direman hingga 20 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata rampasan berkenaan merupakan tangkapan terbesar bagi siri keempat Ops Tapis Khas yang berlangsung 10 hingga 12 Oktober lepas. 

Menurutnya sepanjang Ops Tapis Khas yang diadakan secara bersiri sejak Januari, polis Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 85.17 kg dengan jumlah tangkapan 1,332 orang.– Bernama, 16 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen