PENERAPAN penggunaan kenderaan mampan dan mesra alam seperti lori terminal elektrik bakal mengubah sektor logistik sekali gus mewujudkan pasaran baharu untuk penyedia penyelesaian logistik.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pada masa ini banyak syarikat multinasional sangat mengambil berat tentang alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).
“Oleh itu kita wajar menawarkan perkhidmatan yang boleh membantu mereka mengurangkan jejak karbon mereka supaya negara kita akan lebih berdaya saing dan mampu menarik lebih banyak pelaburan,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran lori terminal elektrik pertama Malaysia dan Asia oleh Swift Haulage Bhd (Swift) di Kuala Lumpur hari ini.
Loke berkata Swift penyedia perkhidmatan logistik bersepadu yang terkemuka dan terbesar di negara ini ialah pemain logistik pertama mengguna pakai lori terminal elektrik, menetapkan standard baharu untuk kemampanan dan tanggungjawab alam sekitar dalam rantaian bekalan mereka.
“Ini bukan sekadar kemajuan teknologi tetapi bukti dedikasi Swift yang tidak berbelah bahagi untuk memberi kesan positif kepada alam sekitar kita,” katanya.
Loke turut memuji komitmen Swift untuk hanya membeli trak kenderaan elektrik bermula 2030 dan seterusnya menandakan langkah yang jelas dan bercita-cita tinggi ke arah masa depan yang lebih mampan.
Pada pelancaran itu Swift turut melancarkan bahagian Logistik Hijaunya dan menyampaikan lori terminal elektrik pertama itu kepada Unilever Malaysia.
Kenderaan itu dikeluarkan oleh Volvo, sebuah syarikat yang terkenal dengan inovasi dan komitmennya terhadap penyelesaian pengangkutan yang mesra alam. – Bernama, 16 Oktober, 2023.
Komen