
SEBANYAK 984 cadangan projek dengan jangkaan nilai pelaburan RM105.3 bilion sedang di peringkat rundingan di bawah selian Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) setakat 31 Ogos, 2023.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata daripada jumlah itu sebanyak RM89.5 bilion merupakan pelaburan langsung asing (FDI) manakala baki RM15.8 bilion adalah pelaburan langsung domestik (DDI).
“Jumlah pelaburan ini merangkumi projek-projek daripada sektor perkilangan dengan cadangan pelaburan sebanyak RM73.6 billion yang (masing-masing) melibatkan 53 cadangan projek serta 931 cadangan projek dalam sektor perkhidmatan dengan pelaburan RM31.7 bilion,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai jangkaan pelaburan bagi 2024 serta langkah untuk menseimbangkan pelaburan di semua negeri dengan tidak hanya tertumpu di Lembah Klang.
Menjelaskan selanjutnya Tengku Zafrul berkata bagi mengurangkan jurang pelaburan di antara negeri-negeri, dasar pelaburan baharu berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) menggariskan aspek kepentingan keseimbangan wilayah.
Malah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023 (NIMP 2030) pula menetapkan misi menjamin sekuriti ekonomi dan keterangkuman.
Sehubungan itu beliau menyifatkan kekuatan kluster di setiap negeri itu sudah mampu melengkapi satu sama lain serta memberi manfaat limpahan ekonomi.
“Sebagai contoh Kedah dan Perak mendapat manfaat limpahan ekonomi daripada kluster elektrik dan elektronik (E&E) di Bayan Lepas dan Batu Kawan (di Pulau Pinang).
“Limpahan ekonomi ini akan turut mewujudkan kluster industri baharu dan industri sokongan seperti perkilangan berteknologi tinggi dan aktiviti penyelidikan di Kulim Hi-Tech Park dan Perak pula boleh menyokong E&E di Pulau Pinang,” katanya.
Tengku Zafrul berkata kerajaan menerusi Majlis Pelaburan Negara turut bersetuju untuk menyusun semula ekosistem agensi penggalak pelaburan (IPA) yang dimulakan dengan penyelarasan fungsi dan peranan secara berfasa bagi memastikan limpahan ekonomi dapat memberi manfaat kepada setiap negeri.
“MIDA akan terus menyokong promosi koridor berlandaskan kekuatan wilayah dan akan mengkaji keperluan setiap negeri bersesuaian dan seiring inspirasi kerajaan menggalakkan kekompleksan ekonomi,” kata beliau. – Bernama, 16 Oktober, 2023.
Komen