
KERAJAAN akan memajukan tanah seluas 4,839 hektar di Sabah dan Sarawak untuk dijadikan kawasan penanaman padi, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ia melibatkan tanah seluas 2,159 hektar di Sabah iaitu di Beluran dan Kota Belud manakala 2,680 hektar di Sarawak melibatkan kawasan Batang Lupar.
“Lima puluh ribu hektar dimaksudkan itu perancangan jangka panjang tetapi setakat ini seluas 4,839 hektar disahkan untuk dibangunkan (penanaman padi) di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari.
Beliau menjawab soalan Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai lokasi dan peruntukan yang terlibat bagi projek penanaman padi di kawasan seluas 50,000 hektar di Sabah dan Sarawak.
Ahmad Zahid berkata perbincangan diadakan bersama Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah berkenaan perkara itu yang antara lain bertujuan mempertingkatkan tahap sara diri (SSL) negara sekali gus meningkatkan produktiviti padi dan beras negara.
Beliau berkata Felcra Berhad dipertanggungjawabkan untuk membangunkan estet padi berskala besar di kedua-dua negeri itu berikutan kejayaannya dalam memajukan kawasan tanaman padi seluas lebih daripada 4,500 hektar di Seberang Perak.
“Felcra meminjam sebanyak AS$50 juta daripada Bank Dunia ketika membangunkan estet padi Seberang Perak dan semua sudah dibayar. Seluas 4,500 hektar dibangunkan, penghasilan sebanyak lima metrik tan per hektar melibatkan 22,500 metrik tan semusim,” katanya.
Menjawab soalan Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) mengenai tanah terbiar untuk dibangunkan beliau berkata Felcra juga akan melihat beberapa potensi untuk meningkatkan keterjaminan makanan lain selain padi, umpamanya ayam, telur dan daging.
“Terdapat kategori tanah-tanah di bawah Felcra, tanah yang kurang digunakan atau pun tidak digunakan ini kita majukan. Ertinya kita menjadi agensi yang melengkapkan terhadap ketidakcukupan makanan.
“Ini akan memberikan keberhasilan bukan hanya kepada peneroka tapi kepada negara kerana kita akan membantu pengurangan import bahan makanan yang kosnya semakin meningkat dan ini akan memberikan kadar pertukaran yang tidak memihak kepada kita,” katanya.
Beliau berkata kerjasama antara kementerian dan agensi juga akan diberi keutamaan dalam hal ini agar tidak lagi bekerja secara berasingan dalam memastikan usaha meningkatkan keterjaminan makanan negara dapat dicapai. – Bernama, 16 Oktober, 2023.
Komen