EMPAT terbunuh manakala 27 lagi cedera di Honduras semalam apabila sebuah bas membawa migran terhumban ke dalam gaung sebelum jatuh ke dalam sungai, menurut Jabatan Bomba, lapor Xinhua.
Kejadian itu berlaku kira-kira 3 pagi waktu tempatan di komuniti barat laut Santa Rosa de Copan, sebuah perbandaran di Honduras, apabila “bas itu terjatuh dari lebuh raya ke Sungai Higuito”, kata pihak berkuasa.
Migran kebanyakannya dari Venezuela sedang dalam perjalanan ke Amerika Syarikat. Daripada empat mangsa yang terbunuh, hanya pembantu pemandu bas yang telah dikenal pasti manakala dua lelaki dan seorang wanita lain tidak mempunyai dokumen bersama mereka.
Pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan siasatan untuk menentukan punca kemalangan itu. – Bernama, 16 Oktober, 2023.
Komen