BEBERAPA badan penerbit terkemuka Arab menarik diri dari Pesta Buku Frankfurt 2023 ekoran tindakan penganjur yang menyokong Israel dan membatalkan anugerah untuk pengarang Palestin.
Portal berita Mesir Ahram Online menyebut, Arab Publishers Association dan Sharjah Book Authority mengumumkan menarik diri dari temasya buku terbesar dunia itu.
Arab Publishers Association antara lain mengecam pendirian tidak wajar penganjur tahun ini yang menyokong Israel sewaktu perang memuncak di Semenanjung Gaza, lapor Ahram Online.
Terdahulu, badan penerbit buku Emiriah Arab Bersatu, Sharjah Book Authority juga mengumumkan menarik diri dari temasya tersebut.
Sharjah mengumumkan tindakan itu ekoran penganjur pesta yang mengambil pendirian menyokong kekejaman Israel dan tindakan pada pengarang Palestin Adania Shibli.
Adania sepatututnya menerima anugerah LiBeraturpreis pada 20 Oktober sewaktu Pesta Buku Frankfurt bagi novelnya bertajuk Minor Details.
Minor Details merakam kisah seorang Badwi Palestin yang dirogol dan dibunuh tentera Israel.
Novel yang diterjemah ke beberapa bahasa itu antara finalis National Books Awards Amerika Syarikat 2020 dan masuk senarai panjang penerima International Booker Prize 2021.
Tindakan sama diumumkan Emirates Publisher Association yang memboikot penyertaan ke Pesta Buku Frankfurt 2023.
Beberapa pengarang Arab lain juga mengutuk pendirian penganjur dan menarik diri dari menyertai Pesta Buku Frankfurt 2023, antaranya Said Khatibi dan Sheikha Souad El-Sabah.
Di Malaysia, kalangan penerbit seperti Buku Fixi, Karangkraf dan Arcane Literature & Kinderstories menggesa rakan penerbit dan badan perbukuan negara mengambil tindakan serupa. – 16 Oktober, 2023.
Komen