Wanita, kanak-kanak Islam ditikam puluh kali di AS


SEORANG tuan tanah warga Amerika Syarikat (AS) didakwa melakukan jenayah pembunuhan dan kebencian semalam selepas menikam seorang wanita beragama Islam dan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun berpuluh-puluh kali.

Menurut polis serangan itu dikaitkan polis dengan perkembangan konflik berterusan antara Israel dan Palestin.

“Kanak-kanak itu yang ditikam 26 kali meninggal dunia di hospital tetapi wanita berusia 32 tahun itu dipercayai ibunya dirawat di hospital.

“Penyiasat percaya kedua-dua mangsa dalam serangan kejam ini menjadi sasaran suspek kerana mereka beragama Islam dan konflik Timur Tengah yang berterusan melibatkan Hamas dan Israel,” menurut kenyataan dari pejabat sheriff Will County di Illinois.

Pejabat sheriff tidak memberikan butiran lanjut atau kewarganegaraan mangsa tetapi pejabat Chicago bagi Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) menyifatkan kanak-kanak itu sebagai warganegara Palestin-Amerika.

Pihak berkuasa berkata wanita itu berjaya menghubungi 911 ketika dia bergelut melawan tuan rumah yang dinamakan oleh pejabat sherif sebagai Joseph Czuba, 71 tahun.

“Polis menemui dua mangsa di dalam bilik tidur. Kedua-dua mangsa mempunyai beberapa kesan tikaman di dada, badan dan bahagian atas badan,” menurut kenyataan polis.

Sebilah pisau ‘rambo’ ditarik dari perut kanak-kanak itu semasa bedah siasat, kata kenyataan itu.

Apabila polis tiba mereka mendapati Czuba duduk di atas tanah berhampiran jalan masuk kediaman itu dengan luka di dahi. Dia dibawa ke hospital untuk rawatan sebelum didakwa atas tuduhan membunuh, cubaan membunuh dan dua pertuduhan jenayah benci.

“Tertuduh mengetuk pintu dan cuba mencekik mangsa dan berkata ‘kamu orang Islam’ mesti mati,” kata Ahmed Rehab, ketua pejabat CAIR di Chicago kepada pemberita memetik mesej teks yang dihantar oleh wanita itu kepada suaminya.

Serangan itu adalah “mimpi ngeri yang paling teruk,” kata CAIR dalam satu kenyataan.

Israel mengisytiharkan perang ke atas Palestin Ahad lalu, sehari selepas gelombang pejuang Hamas menembusi sempadan. – AFP, 16 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen