Perkenal insentif galak caruman sukarela KWSP


PELAKSANAAN Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperkenalkan dalam Bajet 2024 dilihat agak menarik pada permukaannya di mana KWSP akan menjadi akaun baharu yang boleh diakses ahli pada bila-bila masa.

Namun terdapat juga kebimbangan dasar ini akan membawa kesan negatif sekiranya tidak dilaksanakan dengan baik.

Umum tahu kadar caruman pekerja Malaysia agak rendah dan langkah kerajaan untuk membenarkan pengeluaran KWSP beberapa kali semasa penularan pandemik Covid-19 menjejaskan simpanan pencarum untuk persaraan mereka.

Ia turut dilaporkan setakat 2021 sebanyak 3.6 juta ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000 manakala 6.1 juta ahli lagi kurang daripada RM10,000.

Maka sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran fleksibel untuk KWSP haruslah ada syarat atau tawaran insentif untuk memastikan deposit simpanan yang sepadan.

Tanpa syarat seperti ini maka langkah kerajaan ini seumpama menggunakan wang masa depan untuk menyelesaikan masalah hari ini.

Ini bukannya satu solusi yang mampan apatah lagi apabila negara kita sedang menuju menjadi sebuah negara menua.

Sekiranya rakyat warga emas tidak memiliki simpanan yang secukupnya ia bakal menyebabkan pelbagai masalah sosial yang secara langsung menjejaskan negara lebih.

Atas sebab ini kerajaan dicadangkan melaksanakan insentif deposit padanan untuk Akaun Fleksibel KWSP untuk menggalakkan ahli membuat simpanan atau deposit secara sukarela demi memastikan rakyat memiliki simpanan secukupnya untuk persaraan dan juga untuk memupuk tabiat menabung di kalangan rakyat.

Turut dicadangkan akaun fleksibel ini hanya tertakluk kepada ahli yang mencapai tahap simpanan minimum yang ditetapkan KWSP dan juga menghadkan jumlah deposit kepada 3 peratus daripada jumlah gaji mereka setiap bulan.   

Pelaksanaan Akaun Fleksibel KWSP juga wajar dibuat secara “opt-in” di mana ahli-ahli KWSP akan diberi pilihan untuk membuka akaun ini hanya jika mereka memenuhi syarat yang ditetapkan contohnya mereka harus memiliki jumlah simpanan minimum yang ditetapkan untuk memohon opsyen ini.

Akhir sekali pelaksanaan Akaun Fleksibel KWSP ini dilihat lebih bermanfaat kepada golongan pesara.

Daripada membenarkan pengeluaran KWSP secara “one-off” atau sekali sahaja kepada mereka ia lebih baik memberi mereka pilihan untuk terus menabung di KWSP dan hanya mengeluarkan wang apabila ia diperlukan sahaja.

Ini akan memastikan baki simpanan mereka boleh terus menjana pendapatan melalui faedah yang diterima secara langsung mengelak berlaku masalah di mana ramai pesara menghabiskan kesemua simpanan mereka dalam tempoh dua hingga tiga tahun selepas bersara. – 16 Oktober, 2023.

* Saw Yee Fung, jurucakap MCA

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen