PEMIMPIN Palestin Mahmud Abbas mendakwa dasar dan tindakan Hamas tidak mewakili rakyat Palestin, lapor agensi berita Wafa.
Katanya dalam perbincangan dengan Presiden Venezuela Nicolas Maduro, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) adalah satu-satunya wakil rakyat Palestin yang sah, lapor Wafa.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Venezuela, Maduro dan Abbas membincangkan keadaan yang mengerikan di Semenanjung Gaza susulan serangan secara rawak oleh Israel.
Maduro menegaskan semula sokongan tanpa syarat Venezuela untuk perjuangan Palestin dan Pihak Berkuasanya, dan menawarkan 30 tan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin untuk dihantar dalam tempoh beberapa hari akan datang, menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk menuntut gencatan senjata segera dan penubuhan koridor bantuan kemanusiaan.
Israel mengisytiharkan perang ke atas Hamas Ahad lalu, sehari selepas gelombang pejuang kumpulan itu menembusi sempadan.
Pengeboman bertubi-tubi menyebabkan kawasan kejiranan terjejas teruk dengan sekurang-kurangnya 2,670 terbunuh di Semenanjung Gaza, majoriti orang awam Palestin.
Tentera Israel mengarahkan penduduk di utara Semenanjung Gaza menuju ke selatan untuk menyelamatkan diri, sebelum serangan darat dilancarkan.
Kumpulan bantuan memberi amaran mengenai bencana kemanusiaan di Gaza, dengan kira-kira sejuta orang kehilangan tempat tinggal dan rakyat Palestin kehabisan sumber air. – AFP, 16 Oktober, 2023.
Komen