Peruntukan pembangunan Islam naik RM500 juta tiada motif politik, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat. – Gambar Facebook, 15 Oktober, 2023.

PERUNTUKAN RM1.9 billion untuk pembangunan hal ehwal Islam dalam Belanjawan 2024 yang meningkat RM400 juta dari tahun ini hanya menunjukkan kerajaan memberi keutamaan kepada agenda agama, kata penganalisis.

Kata mereka, peningkatan itu tidak sepatutnya dilihat sebagai persaingan Islam antara kerajaan perpaduan dan Perikatan Nasional.

Mereka berpendapat sebenarnya angka itu tidak mencukupi untuk menarik pengundi Melayu Islam kembali kepada kerajaan perpaduan selepas PN menang di kebanyakan undi Melayu pada pilihan raya umum yang lalu.

Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata Anwar mempunyai minat mendalam terhadap pembangunan Islam yang boleh dilihat ketika beliau bersama Umno.

Ahli akademik itu menjelaskan peningkatan RM400 juta daripada Belanjawan 2024 itu tidak seharusnya dilihat bermotifkan politik.

“Dalam banyak ucapan Anwar, beliau menyentuh soal keperluan memperkukuh Islam di negara ini dan ini kita boleh lihat ketika dia bersama Umno dulu.

“Anwar seorang yang vokal dalam hal ehwal Islam, daripada lelaki berseluar panjang hingga ke wanita menutup kepala kepada pembentukan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

“Beliau tidak hanya cipta slogan tapi laksana apa yang dikata dan sekarang sebagai perdana menteri, beliau cuba memperkasa institusi Islam,” kata Mazlan.

Mazlan berkata meski ada usaha menentang naratif yang dibawa PAS dari segi pengislaman, namun peruntukan Belanjawan 2024 itu bukan untuk mencabar ideologi PAS.

“Mungkin kita boleh kata ada usaha tidak langsung tapi itu bukan tujuan utamanya. Apa yang Anwar buat adalah kesinambungan perjuangan panjangnya sebelum menjadi perdana menteri,” tambahnya.

Dalam pengumuman belanjawan pada Jumaat, Anwar berkata peningkatan jumlah itu termasuk untuk pembinaan dua institusi pendidikan Islam, SM Integrasi Sains Tahfiz Di Bukit Jalil dand SMK Agama Jempol di Negeri Sembilan dengan kos RM220 juta.

Katanya, sejumlah RM150 juta disediakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz.

Sebagai tambahan, kerajaan perpaduan juga memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah Jakim yang ditangguh sejak 2003.

Kerajaan juga bersetuju menambah sumbangan khas menjadi RM700 yang disalurkan terus kepada 70,000 guru takmir, guru KAFA, imam, bilal siak, noja dan marbut di peringkat komuniti dengan peruntukan lebih RM50 juta.

Perdana Menteri Najib Razak berkata hijrah itu merangkumi perubahan dan penghijrahan dari pelbagai aspek iaitu dari sudut fizikal, minda, sikap, hati dan persekitaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2017.

Tiada motif politik

Sementara Akademik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata peruntukan itu agak kecil berbanding peruntukan lain yang diberikan Putrajaya.

Menurutnya juga, peningkatan peruntukan untuk pembangunan hal ehwal Islam itu bukanlah perkara baharu kerana kerajaan terdahulu juga memperuntukkan dana untuk perkara sama.

“Perkara Islam ini terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan ini tidak boleh dipertikaikan. Kalau nak kata kenaikan itu bermotifkan politik, setiap pentadbiran sudah melakukannya.

“Oleh itu adalah agak tidak adil untuk melabelkan peruntukan itu sebagai langkah politik. Malah, dalam kerajaan negeri Pulau Pinang yang ‘sekular’, dana untuk pembangunan Islam disediakan dan merupakan salah satu agenda utama negeri,” kata Fauzi.

Turut senada dengan Mazlan, Fauzi berkata Anwar memang dikenali dengan minatnya terhadap hal ehwal Islam.

“Beliau sentiasa dikaitkan dengan Islam dan gerakan Islam. Selepas dipenjarakan beliau bergaul dengan golongan liberal dan kini sebagai PM, beliau tuntutlah,” kata Fauzi.

Sebaliknya Dr Azmi Hassan dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berkata bajet pembangunan hal ehwal Islam itu bukan untuk mencabar populariti PAS atau PN.

Katanya, peningkatan RM400 juta itu bukan angka yang besar untuk apa-apa alasan politik.

“Peruntukan itu hanya cukup untuk tujuan pembangunan, tiada kaitan politik. Ia tidak akan mengatasi populariti PAS atau pun tarik undi Melayu,” kata bekas ahli akademik itu. – 16 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen