Warga emas ditemukan lemas di Sungai Ketil


SEORANG lelaki warga emas ditemukan lemas di Sungai Ketil, dekat Baling, hari ini selepas dilaporkan hilang sejak pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata mayat Abd Aziz Md Lazim, 72, ditemukan anggota penyelamat kira-kira 12 tengah hari.

“Polis menerima laporan berkaitan kehilangan Abd Aziz pada 1.30 tengah hari semalam selepas anggota keluarganya menyedari kehilangannya pada 8.50 pagi semalam. 

“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan di sepanjang lima kilometer kawasan Sungai Ketil, dari lokasi Abd Aziz dipercayai hilang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan operasi SAR ditamatkan pada 12.15 tengah hari.

Sementara itu, isteri mangsa, Zainab Othman, 48, berkata keluarganya dan jiran telah mencari mangsa di sekitar rumah serta kawasan berhampiran.

“Pintu hadapan rumah memang sentiasa berkunci tetapi pintu dapur didapati terbuka. Kasut dan barang-barangnya ada… sebelum ini kalau dia (Abd Aziz) keluar ke kedai atau ke rumah jiran, dia akan balik sendiri,” katanya yang reda dengan pemergian suaminya. – Bernama, 15 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen