Konvoi bantuan ke Palestin tersadai di Rafah


Konvoi membawa bantuan ke Gaza oleh NGO Mesir menanti kebenaran melalui Rafah, hari ini. – Gambar AFP, 15 Oktober, 2023.

KONVOI kemanusiaan yang membawa bantuan gagal memasuki Palestin hari ini selepas laluan masuk di sempadan Mesir dan semenanjung Gaza ditutup sejak Selasa.

Lintasan Rafah merupakan satu-satunya jalan masuk dan keluar ke semenanjungGaza yang tidak dikawal Israel ditutup selepas tiga serangan udara zionis mencederakan anggota keselamatan Mesir dalam tempoh 24 jam.

Semalam, seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kepada AFP, Mesir dan Israel mencapai persetujuan untuk membenarkan rakyat AS meninggalkan Gaza melalui Rafah.

Namun Mesir meletakkan syarat atas persetujuan itu.

Pihak berkuasa menolak ‘laluan itu hanya untuk warga asing’ menurut laporan saluran berita Mesir, Al-Qahera News yang mempunyai hubungan dengan agensi perisikan Mesir.

“Pendirian Mesir jelas, yang menuntut agar bantuan tiba di Gaza,” kata laporan itu ketika kebimbangan terhadap kekurangan bekalan barangan keperluan meningkat di wilayah yang disekat Israel.

Pada Ahad, saksi berkata Mesir meletak konkrit bagi menghalang laluan itu susulan pengeboman Israel dan berkemungkinan tidak membuka lagi laluan itu dalam masa terdekat.

Sementara itu, bantuan dari Jordan, Turkiye dan Emiriyah Arab Bersatu sudah tiba di Lapangan Terbang El Arish kira-kira 50 kilometer (31 batu) barat Rafah – bersama bekalan perubatan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedua (WHO) untuk 300,000 orang.

Malah Mesir sendiri menghantar 100 trak yang membawa 1,000 tan bantuan.

Israel mengenakan kepungan ke seluruh Semenanjung Gaza Isnin lalu termasuk memutuskan bekalan air, elektrik, minyak dan makanan serta mengebom sasaran di kawasan Palestin yang padat. – AFP, 15 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen