Batal jual tanah milik agensi kerajaan Pulau Pinang, kata Ramasamy kepada Chow


BEKAS timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy menggesa kerajaan negeri membatalkan penjualan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Byram, Seberang Perai Selatan kepada Umech Construction Sdn Bhd (Umech).

Ramasamy yang keluar DAP sebelum pilihan raya negeri lepas berkata pastinya wujud klausa dalam perjanjian yang membenarkan PDC membatalkan transaksi yang kontroversi itu.

“Saya mencadangkan kedua-dua PDC dan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan tugas sukar membatalkan perjanjian (jual) tanah dengan Umech.

“Tidak berbaloi untuk meneruskan perjanjian tanah sedia ada yang boleh memalukan semua usaha baik dibuat kerajaan Pulau Pinang sejak 15 tahun lepas.

“Sebaik pembatala berlaku, tindakan perlu diambil terhadap individu terbabit sama ada di PDC atau dalam kerajaan negeri atau pihak luar yang bertanggungjawab dengan kekecohan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ramasamy turut mencadangkan PDC membangunkan sendiri tanah tersebut berbanding mencari pelabur persendirian.

“Masih belum terlambat untuk PDC dan kerajaan negeri menamatkan penjualan tanah (kepada Umech),” tambahnya.

Perjanjian penjualan tanah itu terheret kontroversi selepas pendedahan pelbagai isu termasuk pemilihan Umech Construction dan jualan lanjut kepada Umech Land, penglibatan Sunway Bhd yang membeli 70% kepentingan Umech Land beberapa hari sebelum penjualan tanah berlaku serta harga tanah.

Turut didedahkan adalah kesemua perkara ini tidak dibincangkan dari awal malah kerajaan negeri dan PDC juga tidak mengetahui tentangnya.

Sebelum ini, Ramasamy yang juga bekas Adun Prai menuduh Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengeluarkan kenyataan mengelirukan berkaitan isu tersebut.

Chow dikecam hebat selepas Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (DPCPP) membangkitkan persoalan mengenai prosedur pemberian projek tersebut yang dibuat menerusi rundingan terus dan mengapa syarikat tempatan tidak diberikan peluang terlibat di dalamnya.

Wujud juga persoalan tanah tersebut boleh dipindah milik kepada pemaju.

Parti Gerakan Pulau Pinang dan Muda Pulau Pinang turut mendesak Chow menjelaskan isu tersebut.

Chow yang mempertahankan penjualan tanah kepada Umech minggu lepas berkata pemilihan syarikat itu dibuat mematuhi garis panduan sedia ada. – 15 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen