Pindah pesakit ke hospital lain di Gaza ibarat 'hukuman mati', kata WHO


WHO berkata tindakan memindahkan beribu-ribu pesakit di hospital yang kini sesak di selatan Semenanjung Gaza boleh diibaratkan seperti "hukuman mati". – Gambar EPA, 15 Oktober, 2023.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam berkata tindakan memindahkan beribu-ribu pesakit di hospital yang kini sesak di selatan Semenanjung Gaza boleh diibaratkan seperti “hukuman mati”.

Israel memberi amaran kepada rakyat Palestin supaya mengosongkan utara Gaza menjelang serangan darat yang dijangka terhadap Hamas, seminggu selepas serangan paling dahsyat dalam sejarah Israel.

“WHO mengutuk sekeras-kerasnya arahan Israel untuk memindahkan 22 hospital yang merawat lebih 2,000 pesakit di utara Gaza.

“Pemindahan pesakit dan pekerja kesihatan secara paksa akan memburukkan lagi bencana kemanusiaan serta kesihatan awam semasa,” kata agensi kesihatan PBB dalam satu kenyataan.

Memindahkan 2,000 pesakit ke selatan Gaza di mana kemudahan kesihatan sudah beroperasi pada kapasiti maksimum dan tidak dapat menampung peningkatan mendadak dalam bilangan pesakit boleh diibaratkan dengan hukuman mati, kata WHO.

Organisasi itu berkata keadaan pesakit yang kritikal dan tidak stabil kini “bergantung pada keseimbangan”.

Ia merujuk kepada pesakit yang sedang berada di unit rawatan rapi atau bergantung oksigen, bayi baru lahir dalam inkubator, pesakit yang menjalani hemodialisis dan wanita yang mengalami komplikasi kehamilan.

Kesemua mereka berada dalam keadaan kritikal dan jika terpaksa berpindah mungkin akan menyebabkan mereka kehilangan nyawa, kata WHO.

Israel menyerang utara Gaza pada Sabtu lepas sebelum serangan darat yang dijangkakan terhadap komander Hamas.

Di Gaza, pegawai kesihatan berkata lebih 2,200 orang terbunuh.

WHO berkata pekerja kesihatan di utara Gaza kini berdepan “pilihan yang menyakitkan” antara meninggalkan pesakit kritikal, meletakkan nyawa mereka sendiri dalam risiko dengan kekal di lokasi atau membahayakan nyawa pesakit mereka dengan cuba membawa ke hospital selatan yang kini penuh dan terbeban dengan ramai pesakit.

“Petugas kesihatan tidak sepatutnya membuat pilihan yang mustahil seperti itu,” katanya. – AFP, 15 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen