Kerjasama kerajaan negeri dan pusat selesai isu harga beras


KERJASAMA erat antara kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Chow Kon Yeow bersama Kerajaan Pusat, diyakini mampu menyelesaikan isu berkaitan harga beras yang dihadapi rakyat ketika ini, terutama di Pulau Pinang.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak berkata perkara itu dibuktikan apabila Pulau Pinang menerima 45,000 kilogram beras, menerusi pelaksanaan Program Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT).

“Saya turut dimaklumkan, pada tahun ini kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM800,000 untuk industri itu di negeri ini, melalui Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang.

“Peruntukan yang disalurkan ini bagi pemberian insentif dalam bentuk input kawalan perosak, peningkatan kesuburan tanah serta infrastruktur dalam petak padi,” katanya ketika berucap pada Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang, sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-74 Yang Dipertua Negeri di Dewan Sri Pinang, hari ini.

Fuzi berkata pelbagai pelan intervensi juga sedang giat dijalankan, menerusi outlet peruncitan di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), dalam membantu menstabilkan permintaan bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) di pasaran setempat, bagi memenuhi keperluan pengguna, seterusnya menjamin kestabilan bekalan pasaran di seluruh Pulau Pinang.

Beliau berkata berkata fenomena kenaikan harga beras itu bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi turut melibatkan negara serantau hingga menyaksikan 19 negara mengehadkan eksport ke negara luar, untuk memberi keutamaan kepada rakyat sendiri.

“Usaha-usaha yang dijalankan ini saya percaya, akan sedikit sebanyak membantu untuk mengurangkan kos penyelenggaraan ladang dan secara tidak langsung meningkatkan produktiviti padi di negeri ini.

“Adalah menjadi harapan saya dan seluruh rakyat Pulau Pinang, agar isu keterjaminan makanan di negeri ini akan terus menjadi agenda utama kerajaan negeri, dengan pemerkasaan langkah-langkah yang strategik dan berkesan,” katanya.

Fuzi turut memuji tindakan proaktif Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang PBAPP dalam menangani isu kekeruhan air mentah di Sungai Muda di Lahar Tiang, ekoran kejadian banjir kilat di Baling, Kedah pada 29 September.

Terdahulu, acara sambutan pada jam 8.45 pagi tadi dimulakan dengan Istiadat Kawalan Kehormatan di Dataran Sri Pinang disusuli tembakakan meriam sebanyak 17 das.

Seramai 1,117 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-74 Yang Dipertua Negeri tahun ini.

Mendahulu senarai ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Zulkapli Mohamed yang menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama dua lagi individu iaitu bekas Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Abd Majid Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional (TNB) Baharin Din. – Bernama, 14 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen