DELEGASI Malaysia perlu membantah tindakan penganjur pesta buku terbesar dunia, Pesta Buku Frankfurt yang mempromosi keganasan rejim Zionis di temasya itu, kata satu penerbit tempatan.
Arcane Literature And Kinderstories menyebut, delegasi negara yang dipimpin Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) tidak boleh berdiam diri menghadapi keangkuhan penganjur.
“Sikap penganjur Pesta Buku Frankfurt perlu dikecam dengan keras sekali oleh Malaysia dan agensinya.
“MBKM perlu berani berdepan dengan kekejaman yang dizahirkan Pesta Buku Frankfurt. Penganjur tidak patut menjadikan pesta ini satu platform untuk menghalalkan penyembelihan umat.
“Kerugian wang ringgit di pasaran ini amat kecil berbanding harga diri, nilai nyawa dan kemanusiaan. Malaysia dan seluruh kudratnya perlu berani bersuara,” kata penerbit itu.
Judul sulung penerbit mandiri itu bertajuk Alak In The Hinterland antara 50 judul yang terpilih dari Malaysia untuk menyertai pasaran hakcipta di pesta buku itu.
Penganjur Pesta Buku Frankfurt dalam satu kenyataan di media sosial rasminya berikrar untuk menjadikan ruang di pesta buku tersebut sebagai platform bagi rejim Zionis.
Ikrar tersebut dinyatakan dalam bahan promosi penganjuran pesta buku yang bakal berlangsung bermula 18 hingga 22 Oktober di kota Frankfurt.
“Kami berhasrat untuk memberi ruang yang lebih besar kepada suara-suara Yahudi dan Israel di pesta buku ini.
“Keganasan terhadap Israel bertentangan sama sekali dengan semua nilai yang didukung Pesta Buku Frankfurt. Pesta Buku Frankfurt teguh bersolidariti bersama Israel,” kata penganjur.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan sokongan ke atas perjuangan Palestin dalam perang yang berlangsung pada waktu ini.
Beliau turut mengumumkan dana RM10 juta bagi tabung kemanusiaan sewaktu membentangkan Belanjawan 2024 semalam dan menggesa warga korporat untuk turut menyumbang.
Delegasi Malaysia yang dipimpin Majlis Buku Kebangsaan memilih 50 judul terbaik untuk pasaran hakcipta antarabangsa dalam edisi temasya Pesta Buku Frankfurt kali ini.
Turut terpilih, Detektif Erika terbitan Aras Mega, Dewa Pechil - A Mak Yong Tale (Penerbit UPSI) dan Crossroads Of The Ancient World Lenggong (Lenggong Valley Technologies PLT).
The Big Book Of Malaysian Horror Stories (Buku Fixi), Bajautopia - Tales Of Borneo’s Sea Nomads (SIRD), dan Kembara Henri Fauconnier Di Tanah Melayu (Penerbit UM) juga terpilih. – 14 Oktober, 2023.
Komen