MYAirline terima beberapa tawaran, kata eksekutif


Syarikat penerbangan tambang rendah MYAirline menggantung operasi selepas menanggung beban kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2023.

SYARIKAT penerbangan tambang rendah yang menggantung operasinya minggu lepas, MYAirline Sdn Bhd, sudah menerima beberapa tawaran kerjasama strategik dan sedang menelitinya secara mendalam, kata eksekutif interim Azharuddin Abdul Rahman.

Katanya, perkembangan terkini situasi itu akan diberikan kepada penumpang dan pemegang taruh.

“Bagi pihak MYAirline, kami meluahkan kekesalan terdalam berkaitan kejadian terbaru dan kesannya kepada semua penumpang kami.

“Kami kini sedang mempercepatkan proses pembayaran semula dan meminta kesabaran anda kerana kami sedang mengendalikan jumlah yang besar iaitu lebih daripada 12,000 emel.”

Azharuddin berkata syarikat juga dalam proses mewujudkan talian bantuan bagi membantu semua penumpang terjejas.

Tambahnya lagi, bagi mempercepatkan proses tuntutan bayaran semula, penumpang boleh menghantar butiran tempahan penerbangan mereka menerusi emel [email protected].

Menjawab status pekerja MYAirline, Azharuddin menjelaskan yang kakitangan masih digaji sepenuhnya dan tiada yang dibuang atau menjalani cuti tanpa gaji.

Pada Khamis lepas, MYAirline menggantung operasi sehingga diberitahu kelak disebabkan beban kewangan ditanggung syarikat itu.

Syarikat itu berkata ia perlu mengambil “keputusan yang sangat menyakitkan” kerana tekanan kewangan yang dihadapinya memerlukan ia menggantung operasi sementara menanti penstrukturan pemegang kepentingan dan pemodalan semula. – 14 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen