SEBUAH majlis meraikan novel dikarang penulis kelahiran Palestin yang dijadualkan diadakan di Pesta Buku Frankfurt pada minggu depan dibatalkan pada Jumaat “disebabkan perang yang berlaku di Israel”, lapor akhbar The New York Times yang memetik kenyataan penganjur.
Dalam kenyataan yang dipetik, Litpom, persatuan sastera Jerman yang menganjurkan majlis itu berkata keputusan itu dicapai secara bersama oleh penulis, Adania Shibli.
Adania yang dilahirkan pada 1974 pernah menetap di Berlin dan Baitulmaqdis. Beliau kini adalah Penulis Tamu di Literaturhaus Zurich dan pada 2021 memegang Kerusi Profesor Jemputan Friedrich Durrenmatt untuk Sastera Dunia di Universiti Bern, Switzerland.
Beliau juga adalah antara penulis antarabangsa yang menjadi tetamu utama Festival Sastera Antarabangsa Jakarta 2019.
Novelnya yang menjadi tumpuan kontroversi bertajuk “A Minor Matter” mengisahkan kisah benar kejadian rogol dan bunuh seorang gadis Palestin oleh tentera Israel yang berlaku pada 1949.
Ia diterjemahkan daripada Bahasa Arab ke Bahasa Jerman pada 2022. Edisi terjemahan Bahasa Inggeris novel itu menerima National Book Award 2020 dan disenarai panjang untuk International Booker Prize pada 2021.
Majlis yang dibatalkan itu bertujuan meraikan novel yang memenangi LiBeraturpreis, anugerah kesusasteraan Jerman.
Anugerah itu diberikan secara tahunan kepada penulis dari rantau Afrika, Asia, Amerika Latin atau Arab dengan majlis anugerah diadakan di Pesta Buku Frankfurt, salah satu acara industri perbukuan terbesar dunia.
Novel itu mencetuskan kontroversi apabila sebilangan pengkritik menyifatkannya sebagai anti Yahudi ketika ia diumumkan sebagai pemenang anugerah di Jerman.
Bagaimanapun, krisis Israel-Hamas yang bertambah tegang minggu lepas menyebabkan tumpuan kepada novel itu memuncak.
Pada Sabtu, lebih 1,300 warga Israel dan 1,500 warga Palestin terbunuh dalam beberapa siri serangan dibuat kedua-dua pihak.
Israel turut mengarahkan lebih sejuta penduduk di utara Tebing Gaza untuk berpindah dalam tempoh 24 jam sebelum serangan besar-besaran dilancarkan. Arahan yang disifatkan Ketua PBB Antonio Guterres sebagai “mustahil” dan mewujudkan “kebinasaan kemanusiaan”.
Pengarah Pesta Buku Frankfurt Juergen Boos dalam kenyataan berkata organisasi itu mengecam keras “tindakan keganasan Hamas terhadap Israel.”
Ini bukan kali pertama pesta buku itu terheret kontroversi politik. Pada 2017, pemimpin Eropah menggunakan pesta itu untuk berkempen menentang kebangkitan parti aliran kanan di benua itu dan pada 2015 Iran memboikot pesta tersebut kerana kehadiran penulis kontroversi, Salman Rushdie. – 14 Oktober, 2023.
Komen