DUTA Rusia ke PBB menggesa “gencatan senjata kemanusiaan” di Tebing Gaza dan Israel pada Jumaat, menyalahkan Amerika Syarikat dalam konflik berterusan itu.
Draf resolusi Rusia yang dibentangkan ke Majlis Keselamatan dan dilihat AFP, menggesa genjatan senjata “serta merta” dan pembebasan semua tebusan dan “mengecam keras semua keganasan dan kebinasaan ditujukan kepada orang awam dan semua tindakan keganasan.”
Dokumen itu tidak menyebut secara khusus nama Hamas, kumpulan militan yang mentadbir Gaza dan pada Sabtu menceroboh sempadan dikawal ketat tentera untuk memasuki Israel dan membunuh 1,300 orang, kebanyakannya orang awam.
Hamas dikategorikan sebagai organisasi pengganas di Kesatuan Eropah dan AS, turut menculik kira-kira 150 warga Israel, asing dan pemegang dwi kerakyatan kembali ke Gaza dalam serangan itu, kata Israel.
AS telah menggesa Majlis Keselamatan untuk mengecam kumpulan itu dan serangan dilakukan mereka, terburuk dalam sejarah Israel.
Israel bertindak balas dengan melancarkan siri serangan peluru berpandu ke kawasan padat penduduk di Gaza, membunuh sekurang-kurangnya 1,900 orang termasuk 600 kanak-kanak.
“Kami yakin yang Majlis Keselamatan perlu menamatkan tragedi berdarag dan menyambung semula rundingan damai dengan matlamat mewujudkan negara Palestin yang sepatutnya dibuat sudah lama,” kata Duta Rusia Vassily Nebenzia selepas mesyuarat tertutup Majlis Keselamatan pada Jumaat.
Nebenzia berkata wujud maklum balas positif terhadap draf resolusi itu dalam kalangan ahli majlis.
Beliau turut menyalahkan AS kerana “bertanggungjawab ke atas perang yang wujud di Timur Tengah” dan mengkritik Ketua Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen kerana “membutakan mata terhadap serangan tentera udara Israel ke atas infrastruktur awam di Tebing Gaza.”
Majlis Keselamatan seringkali berbeza pandangan tentang isu Israel-Palestin. Ahli-ahlinya juga sangat berhati-hati bercakap tentang resolusi itu selepas tamat mesyuarat.
“Draf resolusi itu muncul hanya dua minit sebelum kami masuk mesyuarat,” kata Duta British Barbara Woodward.
“Saya fikir untuk sesuatu yang penting seperti ini, kita sudah menyaksikan berapa banyak nyawa hilang. Kami perlukan masa untuk rundingan, perundingan yang serius.”
Duta China Zhang Jun berkata “wujud konsensus tentang kebimbangan kemanusiaan,” menambah: “Kami terbuka kepada semua usaha yang membantu genjatan senjata, mengurangkan ketegangan.”
Menteri Luar Brazil Mauro Viera, yang negaranya mempengerusikan Majlis Keselamatan berkata “Brazil akan terus bekerja rapat dengan semua delegasi dengan matlamat mencari pendirian bersama Majlis berkaitan situasi ini.” – AFP, 14 Oktober, 2023.
Komen