KETUA PBB Antonio Guterres pada Jumaat merayu untuk semua pihak dalam konflik Israel-Hamas yang semakin mengganas supaya melindungi hak asasi manusia paling asas, menekan yang “dalam perang juga ada peraturan” serta memberi amaran menentang penggunaan manusia sebagai perisai tebusan.
“Situasi di Gaza sudah mencapai tahap sangat merbahaya,” kata Guterres menjelang mesyuarat Majlis Keselamatan berkaitan konflik itu.
“Kita memerlukan akses kemanusiaan serta merta di seluruh Gaza, supaya kita dapat menyalurkan bahan api, makanan dan air kepada semua yang memerlukan,” katanya, menambah yang sistem kesihatan di kawasan yang dikepung sudah hampir runtuh.
Gesaan Guterres untuk melindungi orang awam dikeluarkan selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata serangan hebat ke atas Gaza “hanya permulaan” dalam tindak balas kepada serangan dilancarkan Hamas pada Sabtu yang menyebabkan 1,300 orang -kebanyakannya orang awam- terbunuh.
Anggota Hamas turut menculik sekitar 150 warga Israel dan asing dan membawa mereka ke Gaza sebagai tebusan.
Hampir 1,900 warga Gaza-kebanyakan mereka adalah orang awam termasuk lebih 600 kanak-kanak- terbunuh dalam serangan peluru berpandu di kawasan padat penduduk, kata Kementerian Kesihatan.
“Dalam perang pun ada peraturan,” kata Guterres. “Undang-undang kemanusiaan dan hak asasi antarabangsa perlu dihormati dan diangkat; orang awam perlu dilindungi dan tidak boleh digunakan sebagai perisai tebusan.
“Sangat mustahak untuk semua pihak termasuk yang terpengaruh dengan mereka untuk melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat ini.”
Israel memberi masa 24 jam kepada lebih sejuta warga Palestin untuk meninggal kawasan utara Tebing Gaza menjelang serangan lebih hebat yang akan dirancang- pengusiran yang menurut Guterres akan mewujudkan “kebinasaan kemanusiaan.”
“Memindahkan lebih sejuta orang dari seluruh kawasan perang padat penduduk ke kawasan lain tanpa air, makanan dan penginapanan, ketika seluruh kawasan sedang dikepung adalah sangat bahaya- dalam kes tertentu ia adalah mustahil,” katanya.
Guterres turut memberi amaran keganasan yang sedang menegang di seluruh rantau itu dengan Israel kini menerima ancaman berasingan dari Hezbollah di Lubnan.
Pada Jumaat, seorang wartawan video Reuters terbunuh dan enam lagi daripada AFP, Reuters dan Al Jazeera cedera di selatan Lubnan apabila terperangkap dalam serangan.
“Saya berhubung rapat dengan pemimpin seluruh rantau memberi tumpuan kepada cara untuk mengurangkan kesengsaraan (mangsa perang) dan menhalang situasi bertambah buruk di Tebing Barat dan tempat lain di rantau ini termasuk di selatan Lubnan,” kata Guterres.
“Situasi tembak menembak di Garisan Biru sangat membimbangkan. Ia perlu dihentikan,” katanya merujuk kepada garis sempadan pengasingan diwujudkan PBB apabila tentera Israel berundur dari selatan Lubnan pada 2000. – AFP, 14 Oktober, 2023.
Komen