PEGAWAI penguatkuasa tertinggi Kesatuan Eropah (EU), Pesuruhjaya Thierry Breton memberi amaran kepada syarikat induk Google, Alphabet, pada Jumaat tentang kebimbangan risiko “kandungan tidak sah dan salah maklumat” di platform YouTube.
Amaran itu adalah mesej terbaru dalam siri kepada CEO syarikat gergasi teknologi yang menyaksikan beliau turut memberi amaran kepada Elon Musk daripada X atau Twitter, tulis pesuruhjaya industri EU itu kepada CEO Alphabet Sundar Pichai.
Surat itu dimuatnaik dalam talian di platform media sosial Bluesky, pesaing X diterajui Musk, dan memberi amaran supaya YouTube mematuhi terma dalam Akta Perkhidmatan Digital (DSA) yang baru digubal EU.
“Susulan tindakan keganasan dilakukan Hamas terhadap Israel, kami melihat lonjakan kandungan tidak sah dan salah maklumat disebarkan di EU menerusi platform tertentu,” tulis Breton.
Amaran itu sama seperti dalam surat yang sebelum ini dihantar ke Musk, Mark Zuckerberg di Meta dan Shou Zi Chew di TikTok awal minggu ini.
Breton menjelaskan yang YouTube seringkali digunakan ramai kanak-kanak dan remaja serta memberi amaran yang Google mempunyai tanggungjawab khas untuk melindungi penggunanya daripada propaganda dan gambar ganas atau membinasakan.
“Susulan itu pasukan saya akan melakukan tindakan susulan dengan permintaan khusus berkaitan jumlah isu yang ditentukan untuk memastikan ia mematuhi DSA, saya juga menggesa anda untuk melaporkan secara proaktif dengan segera, tepat dan lengkap kepada segala aspek yang dibangkitkan dalam surat ini,” tulis Breton.
“Seperti yang anda tahu, susulan daripada ini adalah potensi siasatan dan sekiranya ketidakpatuhan ditemui, penalti boleh dikenakan.” – AFP, 14 Oktober, 2023.
Komen