PENGUNDIAN Pilihan Raya Umum New Zealand bermula pada Sabtu, dengan Perdana Menteri Chris Hipkins berusaha meraih penggal ketiga pentadbiran parti Buruh yang beraliran tengah-kiri.
Hipkins menjadi ketua pentadbiran pada Januari selepas penyandang jawatan sebelum itu Jacinda Ardern meletak jawatan. Parti Buruh diketuainya menerima tentangan hebat Christopher Luxon yang menerajui Parti Nasional beraliran konservatif.
Pengawai membuka pusat pengundia pada jam 9 pagi dan akan ditutup pada jam 7 petang ini.
New Zealand mempunyai undang-undang pilihan raya yang ketat untuk menyelia pelaporan media dan kempen politik bagi menghalang pengundi terpengaruh.
Undang-undang ini tidak membenarkan bilangan undi awal dikeluarkan supaya pengundi tidak dapat mengagak situasi pengundian sehinggalah keputusan awal pengiraan dikeluarkan selepas pusat undi ditutup.
Sekitar 3.5 juta orang mendaftar untuk mengundi, menurut Suruhanjaya Pilihanraya, dengan 1.2 juta orang berdaftar sebagai pengundi awal. – AFP, 14 Oktober, 2023.
Komen