Pembangunan domestik penting untuk pertumbuhan ekonomi, kata ahli akademik


Noel Achariam

Bagi sektor pelancongan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Tahun Melawat Malaysia 2026 sasar 26.1 juta pelancong asing dengan anggaran perbelanjaan domestik RM97.6 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2023.

PUTRAJAYA sepatutnya memasukkan lebih banyak faedah dalam Belanjawan 2024 dan mengambil langkah menggalakkan pertumbuhan domestik dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu, kata Prof Dr Chung Tin Fah.

Pensyarah Universiti HELP itu berkata tindakan itu amat penting terutama bagi industri pelancongan, pembinaan dan hartanah.

Chung berkata kerajaan sepatutnya mengoptimumkan sektor ini untuk menerajui pertumbuhan dan kecekapan dalam ekonomi Malaysia.

“Lebih banyak peruntukan diperlukan untuk mempromosikan pelancongan di Malaysia.

“Melihat kepada kesukaran dan persekitaran ekonomi yang tidak menentu, sektor pelancongan adalah sektor utama untuk mempromosikan pertumbuhan dengan ringgit yang lemah dan infrastruktur berkelas dunia yang Malaysia ada,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata dengan pengumuman RM90 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, fokus adalah kepada pelepasan cukai dan insentif untuk pengguna, bukannya promosi pelabur.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam berkata ia adalah belanjawan terbesar Malaysia setakat ini bernilai RM393.8 bilion.

Berkenaan sektor pelancongan, beliau berkata Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menyasarkan 26.1 juta ketibaan pelancong asing dengan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 bilion.

“Kerajaan akan memperkenalkan inisiatif baharu di bawah Pelan Liberalisasi Visa.”

Katanya, ini termasuk menambah baik kemudahan visa ketibaan, tawaran pas lawatan sosial dan visa kemasukan berbilang untuk menarik kedatangan pelancong dan pelabur terutama dari India dan China.

Anwar berkata Putrajaya juga akan melonggarkan syarat permohonan Malaysia Rumah Keduaku untuk menarik pelancong asing dan pelabur.

Chung berkata apa yang tercicir daripada Belanjawan 2024 adalah tidak ada pelepasan cukai atau strategi untuk menggalakkan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

“Golongan B40 terlindung dengan rasionalisasi penghapusan subsidi sementara M40 dan T20 akan terjejas.

“Penjimatan kerajaan adalah dengan mengorbankan kumpulan pengguna ini.”

Chung berkata sukar apabila tidan banyak yang dilakukan untuk pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Bayaran diberikan menerusi bantuan tunai rahmah akan membantu mengimbangi sedikit peningkatan kos sara hidup.

“Ia adalah tindakan mengimbangi untuk mengurangkan subsidi dan menaikkan cukai terhadap barangan tidak penting seperti barangan mewah.”

Katanya, secara keseluruhan kos sara hidup ditangani dengan bantuan tunai kepada B40 sementara inflasi mungkin naik akibat ringgit yang lemah dan penghapusan subsidi. – 14 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen