Henti operasi MYAirline akan jejas sektor pelancongan, kata pengusaha


Diyana Ibrahim

Kewujudan MYAirline, yang beroperasi ke Langkawi dengan dua penerbangan sehari bermula 1 Disember 2021 lalu, sangat membantu melonjakkan lagi kehadiran pelancong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2023.

KESAN tindakan syarikat penerbangan tambang murah MYAirline menghentikan operasi bermula semalam, tempiasnya akan terkena pada sektor pelancongan tempatan, antaranya Langkawi, kata penggiat industri.

Mereka bimbang keadaan ini sekiranya berlanjutan akan menjejaskan kedatangan pelancong ke pulau itu kerana pilihan penerbangan tambang murah yang terhad.

Presiden Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi, Ahmad Pishol Ishak berkata sektor pelancongan pulau itu sememangnya bergelut dengan isu harga tiket tambang penerbangan yang mahal.

Namun kewujudan MYAirline, yang beroperasi ke Langkawi dengan dua penerbangan sehari bermula 1 Disember 2021, sangat membantu melonjakkan lagi kehadiran pelancong, katanya.

“Cuma apabila mereka tiba- tiba tutup operasi memang kita amat bimbang ia akan jejaskan kemasukan pelancong

“Ia memang tidak membantu sektor pelancongan di Langkawi yang kini sangat merosot,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahmad Pishol percaya penghentian operasi MYAirline semalam menyebabkan ada pelancong yang membatalkan tempahan bilik hotel, perkhidmatan kereta sewa atau aktiviti lain di Langkawi, yang dibuat lebih awal.

Beliau bagaimanapun tidak pasti jumlah kerugian yang ditanggung oleh pengusaha pelancongan di Langkawi susulan keputusan MYAirline menggantung operasi.

Pada masa ini, syarikat penerbangan tambang murah Firefly milik Malaysia Airlines, dan AirAsia juga beroperasi ke Langkawi.

Susulan pengumuman MYAirline semalam, tiga syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, dan Batik Air menawarkan bantuan kepada penumpang yang terjejas termasuk diskaun harga tiket.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata seramai 125,000 penumpang terjejas akibat keputusan MYAirline menghentikan operasinya atas sebab masalah kewangan.

Ia mengakibatkan kerugian kira-kira RM20 juta, berdasarkan jualan tiket penerbangan sehingga Mac 2024.

Sementara itu, operator pelancong di Pulau Perhentian, Terengganu Fauzi Rahman juga bimbang kemungkinan terkena tempias sama.

“Walaupun MyAirline tidak beroperasi di Terengganu kita masih boleh mendapat kelebihan bagi pelancong yang turun di Kota Baru, Kelantan.

“Tambahan pula jarak untuk jeti ke Besut dari Kota Bharu ke jeti Besut lebih dekat hanya makan masa 30-40 minit.

“Jadi kebanyakan pelancong akan pilih untuk turun di Kota Bharu berbanding Terengganu kalau nak ke Pulau Perhentian,” katanya.

Setakat ini, katanya, sudah ada pelancong yang membatalkan tempahan untuk minggu ini.

“Saya belum ada lagi pelanggan datang batal tempahan tapi rakan saya ada. Terutama tempahan dalam minggu ini.

“Cuma saya tak pasti sama ada wang pendahuluan mereka dapat dipulangkan balik atau tangguh dahulu sehingga mereka dapat tarikh baru untuk datang ke pulau,” katanya.

Selain Langkawi dan Kota Bharu, MYAirline juga terbang dari klia2 ke Kota Kinabalu, Kuching, Tawau, Sibu, Miri, dan Pulau Pinang, serta Bangkok. – 14 Oktober, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen