Peningkatan peruntukan bukti kerajaan jaga kebajikan Sabah, Sarawak, kata Fadillah


Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kerajaan juga komited meneruskan rundingan dan melaksanakan tuntutan MA63 menerusi Belanjawan 2024. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2023.

BELANJAWAN 2024 memperlihatkan tekad kerajaan persekutuan dalam melaksanakan agenda dan dasar yang memberi keutamaan kepada rakyat khususnya bagi menjaga kebajikan dan hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata ia dibuktikan dengan peningkatan peruntukan kepada Sarawak dan Sabah, iaitu masing-masing RM5.8 bilion dan RM6.6 bilion.

“Yang lebih utama adalah kita kena fokus kepada pelaksanaan. Walaupun peruntukan ada tapi pelaksanaan tidak efisien, maka peruntukan itu tidak akan turun ke bawah, itu yang harus difokuskan dalam belanjawan ini yang melibatkan perkhidmatan,” katanya.

Beliau yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Menerusi belanjawan itu, peruntukan untuk pembangunan Sarawak meningkat kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.6 bilion manakala bagi pembangunan Sabah meningkat kepada RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion.

Dalam pada itu, Fadillah berkata penurunan kuasa untuk projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak serta peningkatan kadar pemberian khas interim juga membuktikan komitmen padu kerajaan perpaduan dalam memperkasa pembangunan infrastruktur di kedua-dua negeri itu.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan terus komited meneruskan rundingan dan melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi Belanjawan 2024.

Menurutnya ia dizahirkan dengan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia  (Pindaan) 2023 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat Rabu lepas, memperuntukkan wakil Kerajaan Negeri Sabah dan wakil Kerajaan Negeri Sarawak selaras hasil laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963. 

“Satu lagi dalam perundingan ialah untuk Sarawak mengambil alih Pelabuhan Bintulu dan pengoperasian Perkhidmatan Udara Desa (RAS), yang itu dalam peringkat rundingan dan akan dirundingkan dalam jawatankuasa MA63.

“Sabah juga banyak diumumkan… saya kira MA63 berjalan lancar dari segi apa yang direncanakan dan insya-Allah kita dapat melaksanakan apa yang dihasratkan perdana menteri untuk menyegerakan apa sahaja yang dipersetujui di bawah MA63,” katanya. 

Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2024 berkata antara projek pembangunan yang dirancang untuk dilaksanakan di kedua-dua negeri itu adalah menaik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 buah sekolah, merangkumi 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah dengan peruntukan RM930 juta.

Selain itu, Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dijangka siap sepenuhnya tahun depan sementara proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Pan Borneo Sabah Fasa 1b melibatkan jajaran 336km dengan kos RM15.7 bilion akan diselesaikan November ini.

Menurut Anwar, projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dengan jajaran lebih 320 km melibatkan kos hampir RM7.4 bilion mula dilaksanakan penghujung tahun ini di samping kerajaan akan terus mensubsidi pengangkutan udara sebanyak RM209 juta untuk manfaat penduduk desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak. – Bernama, 13 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen