Zahid nafi ahli Parlimen Kuala Kangsar hubungi PM sebelum nyatakan sokongan


Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata sokongan ahli Parlimen Kuala Kangsar kepada PM adalah kehendak peribadi beliau sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2023.

AHLI Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang membuat keputusan menyokong kepimpinan kerajaan perpaduan, tidak pernah menghubungi atau bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi menyatakan sokongannya.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya tindakan berkenaan dibuat atas kehendak peribadi ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu sendiri.

“Kabinet dimaklumkan pagi tadi, ahli Parlimen Kuala Kangsar tidak telefon atau bertemu dengan perdana menteri apatah lagi mengadakan perbincangan mengenai sokongan beliau kepada kerajaan perpaduan ini tanpa beliau sendiri keluar daripada partinya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, hari ini.

Semalam media melaporkan Iskandar Dzulkarnain mengumumkan menyokong kepimpinan perdana menteri setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya. – Bernama, 13 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen