PM umum RM1.9 bilion naik taraf, selenggara sekolah


Jumlah yang diumumkan itu merangkumi RM930 juta bagi kerja-kerja naik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 sekolah melibatkan 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2023.

KERAJAAN menyediakan RM1.9 bilion untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara pada tahun hadapan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat hari ini berkata, ia merangkumi RM930 juta bagi kerja-kerja naik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 sekolah melibatkan 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah.

“Sebanyak RM1 bilion pula adalah untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah Tamil dan Cina termasuk sekolah Pendidikan khas dengan memberi tumpuan kepada keperluan pelajar autism,” kata beliau.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata pendidikan kekal sebagai komponen utama yang menerima peruntukan dalam perancangan belanjawan negara dengan Kementerian Pendidikan (KPM) diperuntukan RM58.7 bilion, berbanding RM55.2 bilion pada tahun ini.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 26 sekolah baharu akan mula dibina dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM2.5 bilion termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laya-laya, Tuaran Sabah; SMK Baie, Bintulu, Sarawak; SMK Seri Melati, Kuantan, Pahang; SMK Bandar Universiti, Bandar Seri Iskandar, Perak dan SMK Binjai, Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata kerajaan juga meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) RM2,589 berbanding RM1,500 sebelum ini.

Peluasan syarat itu akan memberi peluang kepada tambahan 35,000 lagi anak daripada keluarga kurang mampu untuk mendapat BKP.

“Bagi memastikan anak-anak keluarga miskin tidak tercicir daripada pendidikan, kerajaan turut bersetuju memperluas pemberian bantuan bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada murid sehingga Tingkatan Tiga berbanding sehingga Tingkatan Satu sebelum ini.

“Keseluruhannya, satu juta murid akan menerima manfaat dengan peruntukan RM150 juta,” kata beliau.

Bagi memperkasa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Anwar mengumumkan Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian akan ditubuhkan antaranya menetapkan sasaran serta langkah bagi meningkatkan penyertaan bidang itu dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Menurutnya, kerajaan menyediakan RM100 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan memperoleh peralatan baharu untuk pembelajaran STEM sementara wakil industri juga akan turut terlibat sebagai tenaga pengajar serta membekalkan peralatan.

Dalam memperkasa dan melindungi kesejahteraan murid berkeperluan khas, beliau berkata 18 blok baharu Pendidikan khas akan dibina dengan RM180 juta melibatkan SMK Kubang Rotan, Kedah; Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Perda, Pulau Pinang dan SMK Dato Ali Ahmad, Perlis.

Anwar turut mengumumkan RM30 juta disediakan untuk membekalkan peralatan sokongan pendidikan khas dan menyediakan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memudahkan urusan murid dan guru di sekolah.

Beliau juga berkata RM100 juta disediakan bagi melaksanakan pendekatan holistik melibatkan semua pihak dalam membantu murid yang masih tercicir dan memerlukan bimbingan lanjut susulan Malaysia merekodkan penutupan sekolah tertinggi berbanding negara serantau ketika pandemik Covid-19.

Perdana menteri juga berkata KPM akan melaksanakan Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara bagi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang sedang dirangka turut mengambil kira cadangan dan kekhuatiran ibu bapa, warga pendidikan dan industri.

“Penerapan Karamah Insaniah dalam kalangan murid sekolah akan diperluas untuk melaksanakan program pembentukan karakter murid yang menumpukan kepada nilai kepimpinan, sahsiah diri, adab dan integriti,” katanya. – Bernama, 13 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen