Penjawat awam terima bayaran insentif awal RM2,000


Bayaran insentif diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 dibuat sementara menunggu semakan semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada 2012. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2023.

BAYARAN Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam berjumlah RM2,000 akan diberikan kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak, menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bayaran insentif ini dibuat sementara kerajaan menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada 2012.

“Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ini akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka akan dimuktamadkan pada penghujung tahun hadapan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata bayaran insentif berjumlah RM1,000 juga diberi kepada jawatan utama sektor awam melibatkan semua pihak termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

Beliau berkata semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen turut menerima bayaran insentif RM1,000, yang akan dibuat sekali gus pada akhir Februari depan bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang Ramadan dan Syawal.

Anwar berkata kerajaan bersetuju liputan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja untuk penjawat awam, ditambah baik dan had siling gaji ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000, selaras pindaan Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi sektor swasta.

“Kenaikan had siling gaji ini membolehkan kadar bayaran faedah di bawah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja meningkat sehingga 50 peratus atau sekitar RM1.6 juta.

“Dengan kata lain, penjawat awam atau waris akan menikmati tuntutan pampasan yang lebih tinggi sekiranya berlaku kemalangan semasa bertugas,” katanya.

Anwar berkata kerajaan juga bersetuju memperluas kemudahan bantuan bayaran pakaian menghadiri upacara rasmi bagi meliputi pakaian batik Malaysia untuk semua penjawat awam yang layak, sebagai langkah menggalakkan penghasilan batik Malaysia berkualiti tinggi.

Belanjawan yang kedua di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Anwar, dibentangkan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul dan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan, media sosial serta laman YouTube Parlimen. – Bernama, 13 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen