Intipati: Anwar bentang belanjawan RM393.8 bilion


Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan 'Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat' di Dewan Rakyat hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Hali,, 13 Oktober, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim membentangkan belanjawan bertemakan “Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat” yang berjumlah RM393.8 bilion ringgit, paling tinggi dalam sejarah.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat, RM303.8 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus manakala RM90 bilion, untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Katanya, jangkaan itu dibuat dengan hasil kutipan berjumlah RM303.2 bilion dan penjimatan perbelanjaan dan penambahan hasil.

Anggaran itu juga berdasarkan jangkaan pertumbuhan KDNK antara 4 hingga 5% pada tahun depan, katanya.

Tambah beliau, kutipan hasil dijangka meningkat dari RM303.2 bilion tahun ini kepada RM307.6 bilion tahun depan.

Defisit fiskal pula diunjur berkurang kepada 4.3% berbanding sasaran 5% tahun ini.

Belanjawan ini dibentuk dengan berpandukan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12).

Ia merupakan belanjawan kedua dibentangkan Anwar, yang juga menteri kewangan sejak mengambil alih jawatan perdana menteri.

Berikut intipati utama pembentangannya: 

* Cukai Perkhidmatan akan dinaikkan dari 6% kepada 8%. Peningkatan tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi. Skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke.

*  Cukai Keuntungan Modal akan dilaksana bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10% mulai 1 Mac 2024. Cukai ini dikecualikan ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti Initial Public Offering (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka tertakluk kepada syarat ditetapkan.

* Cukai Barang Bernilai Tinggi pada kadar 5% hingga 10% akan dikenakan ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan.

* Cukai minimum global yang dikuatkuasa pada 2025 dan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya EUR750 juta.

* Kuatkuasa e-invois mandatori kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta mulai 1 Ogos 2024.

* Penyasaran semula subsidi akan meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

* Kawalan harga ayam sementara akan dilepaskan supaya pasaran tempatan boleh berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran.

* Pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar diteruskan dengan peruntukan RM55 juta. Bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri juga dikecualikan.

* Harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan sementara pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi.

* RM2.4 bilion untuk bina, selenggara, baik pulih kuarters penjawat awam, guru, hospital, anggota polis, tentera dan bomba.

* RUU Perolehan Kerajaan akan dibentang tahun 2024.

* RM18 juta disedia untuk lancarkan urusan reformasi perundangan termasuk RUU Pelaksanaan Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori.

* RM150 juta untuk baik pulih tandas awam seluruh negara melibatkan 150 PBT seluruh negara.

* Kerajaan negeri perlu manfaatkan peruntukan MARRIS RM5.4 bilion bagi selenggara jalan negeri.

* RM2.8 bilion untuk selenggara jalan, jambatan persekutuan dengan RM300 juta kepada kontraktor G1 hingga G4.

* RM30 juta melalui jurutera daerah untuk projek kecil di jalan persekutuan, RM100 juta untuk selenggara lampu jalan. RM50 juta untuk tujuan sama bagi PBT. RM50 juta untuk rawat kawasan kemalangan tinggi.

* Dasar Peluang Kedua kepada golongan muda bawah 40 tahun dengan hutang tidak lebih RM200,000.

* RM26 juta untuk sedia perkhidmatan terus kerajaan bagi rakyat di pedalaman.

* RM10 juta tambahan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC). Portal Fraud Kebangsaan (NFP) akan dibangunkankan dengan kebolehan automasi jejak penipuan dan pulangkan dana. Undang-undang dikaji untuk tindakan lebih berkesan kepada pesalah.

* Peruntukan Persekutuan RM5.8 bilion untuk pembangunan Sarawak, RM6.6 bilion untuk Sarawak. Kerajaan negeri juga dapat kuasa laksana projek pembangunan di bawah nilai 50 juta ringgit.

* Pemberian Khas interim RM300 untuk Sarawak dan Sabah, meningkat dari RM16 juta bagi Sarawak dan RM125.6 juta bagi Sabah sebelum ini.

* RM400 juta untuk naikkan paras harga Insentif Pengeluaran Getah kepada RM3 sekilogram dari RM2.5.

* Rebat sehingga RM2,400 bagi rakyat berpendapatan RM120,000 ke bawah bagi Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik.

* Pentadbiran Persekutuan akan mula gunakan kenderaan elektrik sebagai kereta rasmi. Panel solar akan mula dipasang di bumbung bangunan kerajaan dengan kerjasama TNB dan Gentari.

* RM60 juta untuk ambil 2,000 orang lagi renjer komuniti untuk kuatkuasa kawasan hutan simpan kekal. Renjer akan dilantik dari bekas tentera, polis, Orang Asli dan komuniti setempat.

* RM10 juta untuk pampasan akibat konflik hidupan liar.

* RM11.8 bilion untuk 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi melibatkan projek di Sungai Pahang, Sungai Langat Fasa 2, Sungai Jelai, Sungai Likas, Kuching Fasa 2, Baling Fasa 2, Sungai Kelantan Fasa 2. Sebanyak 24 projek dapat Surat Setuju Terima mulai Oktober dengan kos RM5.1 bilion, baki pada suku pertama 2024.

* RM20 juta kepada PBT untuk laksana kerja baiki parit dan longkang rosak.

* RM563 juta untuk baiki cerun, RM300 juta untuk Nadma.

* RM2.6 bilion untuk subsidi dan insentif kepada pesawah dan nelayan.

* Harga lantai belian padi naik kepada RM1,300 setiap tan metrik.

* Pelaburan RM5 bilion untuk tanaman padi lima musim di Bota Kiri, Kangar, Kota Sarang Semut.

* RM400 juta untuk Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan. RM150 juta untuk kerjasama dengan kerajaan negeri, RM50 juta unutk kaedah baharu perolehan baja, RM50 juta untuk baja organik kepada 50,00 pesawah.

* RM430 juta untuk pinjaman pengusaha agromakanan, RM50 juta bawah Tabung Bencana PErtanian, RM50 juta untuk dana permulaan bawah Skim Takaful Tanaman Padi.

* Dana tambahan RM25 juta secara geran padanan kepada institusi kewangan bawah program kewangan sosial i-Tekad

* RM500 juta untuk bangunkan semula tanah wakaf seluruh negara.

* RM44 bilion dalam bentuk pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk usahawan PMKS.

* RM2.4 bilion bagi kemudahan pinjaman kecil untuk usahawan mikro dan peniaga kecil bawah agensi BNM, BSN dan Tekun.

* RM100 juta bagi geran pendigitalan sehingga RM5,000 untuk lebih 20,000 usahawan PKS dan pengusaha mikro bagi naik taraf sistem jualan, inventori dan perakaunan digital.

* RM900 juta untuk automasi dan pendigitalan dan RM40 juta bagi Program Shop Malaysia Online.

* RM110 juta untuk baik pulih pasar awam dan pusat penjaja. RM10 juta untuk perindah 10,000 gerai, RM50 juta untuk 4,000 unit ruang niaga baharu.

* RM47 juta untuk tambah baik terminal Lapangan Terbang Tioman dan panjangkan landasan kepada 1,300 meter.

* RM97.6 bilion untuk tarik 26.1 juta pelancong asing.

* RM160 juta untuk manfaat penggiat seni termasuk RM60 juta untuk Dana Kandungan Digital, RM90 juta untuk Film In Malaysia Incentive, dan RM10 juta melalui Skim Dana Padanan MyCreative.

* Duti Hiburan Wilayah Persekutuan turun dari kadar 25 peratus. Anugerah Seni Negara akan dianjurkan semula.

* RM100 juta untuk Insentif Program Tanam Semula Sawit, RM70 juta untuk Kempen Menangani Antiminyak Sawit.

* RM90 juta kepada Risda dan Felcra untuk hasilkan tanaman makanan dan ternakan.

* RM58.1 bilion untuk biaya subsidi, insentif dan bantuan termasuk RM225 juta untuk kos edar barangan keperluan asas, RM200 juta untuk Payung Rahmah.

* Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah untuk belia naik kepada RM500 dari RM350. Kadar maksimum meningkat dari RM3,100 kepada RM3,700. Peruntukan meningkat dari RM8 bilion kepada RM10 bilion. Bayaran pertama STR2024 disalurkan sebelum Ramadan.

* Sumbangan Asas Rahmah (Sara) RM100 sebulan dikreditkan untuk 12 bulan. Permohonan seawal November dan dibuka sepanjang tahun. Bayaran pertama hingga RM500 pada Februari 2024.

* RM500 juta untuk rakyat miskin tegar sertai Inisiatif Pendapatan Rakyat.

* RM2.4 bilion bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Syarat kelayakan diperluas dengan kenaikan Pendapatan Garis Kemiskinan Makanan 2023 di paras RM1,198 sebulan.

* Ikhtiar FlySiswa untuk subsidi bagi 60,000 pelajar kurang mampu beli tiket penerbangan pulang ke kampung halaman.

* KWSP struktur semula akaun, perkenal akaun fleksibel baharu yang boleh diakses ahli pada bila-bila masa.

* Institusi pelaburan Bumiputera dipusatkan bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB). Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) digabungkan, dapat suntikan tanah strategik kerajaan khususnya di Kuala Lumpur bagi pembangunan perumahan. Ekuinas juga diletakkan bawah YPB.

* UiTM perlu tumpu latihan bakat baharu Bumiputera seperti dalam ekonomi Islam, aeroangkasa dan industri kreatif.

* RM1.6 bilion pinjaman dan jaminan untuk usahawan PMKS Bumiputera termasuk modal teroka syarikat pemula.

* Galakan cukai untuk wanita kembali bekerja dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027, pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun jagaan anak naik kepada RM3,000.

* RM586 untuk Kemas. RM82 juta untuk buka 26 buah prasekolah baharu, RM20 juta untuk lahirkan 100,000 hufaz Kemas.

* RM20 juta untuk perbanyak program belia, RM500 untuk setiap belia sertai aktiviti sukarela, RM10 juta untuk modal anak muda terlibat dalam khidmat penghantaran.

* Peruntukan untuk Orang Asli naik kepada RM333 juta, termasuk RM28 juta pergiat pembangunan usahawan dan penanaman semula.

* RM1.2 bilion untuk bantuan jagaan, elaun pekerja OKU. RM300 elaun pelatih OKU ikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti. RM50 juta melalui BSN untuk usahawan OKU mikro.

* RM1 bilion untuk perlindungan warga emas termasuk bantuan tunai dan dana institusi penjagaan dan pusat aktiviti. Rumah Jagaan Kejururawatan Swasta Warga Emas dapat Elaun Bangunan Industri.

* Peruntukan Kementerian Pendidikan naik kepada RM58.7 bilion. RM1.9 bilion bagi naik taraf sekolah seluruh negara dan RM2.5 bilion untuk bina 26 buah sekolah baharu.

* Ibu bapa berpendapatan hingga RM2,589 layak mohon Biasiswa Kecil Persekutuan, pelajar hingga tingkatan tiga dapat bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

* Kementerian Pendidikan Tinggi dapat RM16.3 bilion. Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) ditubuhkan di UTM dengan peruntukan awal RM20 jutas. Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 14 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024. Yuran daftar masuk universiti awam dihadkan tidak lebih RM1,500.

* Pelajar yang tidak mampu bayar yuran pengajian tidak akan disekat daftar subjek setiap semester, bayaran boleh dilunaskan selepas daftar.

* Peruntukan RM41.2 bilion bagi Kementerian Kesihatan Malaysia. Sejumlah RM5.5 bilion untuk peroleh ubat, bahan guna habis, reagen dan vaksin.

* RM200 juta untuk menyumber luar pesakit ke hospital lain, RM300 juta untuk baik pulih 400 klinik uzur.

* Duti produk tembakau pada kadar 5% tambah RM27 sekilogram, duti minuman bergula naik kepada 50 sen seliter.

* Skim perubatan Madani, skim MySalam liputi tuntutan kos perubatan seperti stent untuk jantung.

* Dana RM1 bilion untuk geran antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi Program Komuniti Madani.

* RM1.1 bilion untuk selesai isu bekalan air terutama di Kelantan, Sabah dan Labuan.

* Lima stesen LRT tiga yang dibatalkan diteruskan semula—Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

* Surat cara pindah milik harta tanah bagi melepaskan hak mengikut wasiat atau faraid atau Akta Pembahagian 1958 hanya dikenakan duti setem sebanyak RM10 berbanding kadar ad-valorem sebelum ini.

* Kementerian Pertahanan diperuntukkan RM19.7 bilion, meningkat RM2 bilion ringgit. Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula diperuntukkan RM19
bilion, bertambah RM500 juta.

* Perolehan aset baharu pertahanan termasuk 12 helikopter TUDM, 60 kereta perisai infantri, 50 High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV), 6 Hovercraft Integrated Fast Interceptor serta 733 kenderaan sokongan pelbagai jenis.

* Kerja-kerja memasang pulih 2 aset kapal selam, perolehan tiga buah Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia, 7 buah pesawat kapal terbang twin engine dan 5 buah helikopter ringan PDRM.

* Kerajaan ambil alih pembangunan Bandar Malaysia, pastikan tanah strategik dimanfaatkan sebaiknya untuk projek rakyat termasuk rumah mampu milik untuk golongan veteran. Ia ambil kira kepentingan bumiputera di Wilayah Persekutuan selain taman dan ruang hijau.

* RM150 juta ringgit disediakan kepada Jakim untuk selenggara dan naik taraf prasarana institusi pendidikan Islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz.

* RM1.9 bilion untuk urusan dan pembangunan hal ehwal Islam. Sumbangan terus RM700 kepada 70,000 guru takmir, guru Kafa, imam, bilal, siak, noja dan marbut.

* Geran bantuan RM20,000 kepada Sekolah Agama Rakyat berdaftar dikembalikan semula.

* Pelepasan cukai khusus untuk peralatan dan aktiviti sukan terhad kepada RM1,000. Pelepasan juga meliputi yuran ikuti latihan sukan.

* RM50 juta kepada agensi berpotensi untuk ketengah karya seni dan sastera, pergiat persembahan teatir dan pupuk minat membaca karya agung. RM10 juta untuk kerjasama dengan kerajaan negeri.

* Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah, RM1,000 kepada semua JUSA.

* Insentif RM1,000 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen, dan tidak berpencen. Bayaran sekali gus pada akhir Februari 2024.

* RM10 juta bagi tabung bantu warga Palestin. – 13 Oktober, 2023.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen