Pemilihan speaker Dewan AS, Steve Scalise tarik diri


Ketua Majoriti Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Steve Scalise tarik diri daripada pemilihan speaker Dewan Perwakilan selepas gagal mendapat sokongan Republikan. – Gambar EPA, 13 Oktober, 2023.

KETUA Majoriti Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Steve Scalise mengumumkan menarik diri daripada pemilihan speaker Dewan Perwakilan selepas gagal mendapat sokongan yang mencukupi daripada Parti Republikan, lapor Xinhua.

“Saya baru saja berkongsi dengan rakan sekerja saya menarik diri sebagai calon speaker,” kata Scalise.

Pada Rabu, Scalise, calon Republikan di Dewan Perwakilan AS memenangi pencalonan menerusi undian 113-99 ke atas pengerusi Jawatankuasa Kehakiman Dewan dan pengasas bersama kelab konservatif House Freedom Caucus, Jim Jordan.

Kemenangan Scalise yang hanya mendahului 14 undi menunjukkan perpecahan serius dalam kalangan Republikan di Dewan Perwakilan.

Sebilangan anggota Republikan tidak menyokong Scalise, termasuk penyokong Jordan yang menyokong bekas presiden Donald Trump dan merupakan sekutu Kevin McCarthy.

Pemecatan McCarthy sebagai Speaker Dewan telah mendedahkan perpecahan yang semakin ketara antara golongan konservatif dan “moderates” dalam Republikan. – Bernama, 13 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen