LADANG Lembah Bin Heshbal yang terletak di wilayah Asir menerima pengiktirafan Guinness World Records (GWR) sebagai ladang yang mempunyai keluasan kawasan terbesar di dunia.
Menteri Alam Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi Abdulrahman bin Abdulmohsen Al-Fadhli, menerima sijil daripada GWR pada majlis yang dianjurkan oleh Saudi Reef Programme di di Riyadh.
Jumlah keluasan ladang itu meliputi 3,204,182 meter persegi dan terbahagi kepada dua bahagian, masing-masing dilengkapi dengan tangki konkrit berkapasiti 500 meter padu.
“Selain itu, ladang berkenaan mempunyai rangkaian pengairan automatik untuk menampung semua tanam-tanaman yang ada di ladang berkenaan. Ladang itu turut dilengkapi dengan lima rumah berhawa dingin, serta bangunan tambahan,” lapor Agensi Berita Arab Saudi.
Ladang itu bergantung kepada air terawat untuk mengairi tanaman.
Proses pengairan dilaksanakan dengan teliti melalui pelbagai fasa dan diawasi oleh beberapa pakar yang mahir dalam aspek seperti pengairan, pembajaan dan peralatan.
Mereka memantau dan menyelia semua operasi pertanian di 50 ladang buah-buahan, serta 20 ladang tambahan yang dijadualkan untuk kegunaan pemulihan dan penanaman untuk masa akan datang.
Ladang ini mengkhususkan satu bahagian untuk penanaman dan pengeluaran semanggi, di samping pelbagai jenis tanaman dan buah-buahan lain, antaranya limau, delima, anggur, buah ara, badam dan buah zaitun.
Selain itu, terdapat juga ladang eksperimen yang menempatkan pelbagai jenis tanaman. – Bernama, 13 Oktober, 2023.
Komen