Steve Scalise menang pencalonan speaker Dewan Perwakilan AS


Steve Scalise dari Louisiana sebagai calon Speaker parti itu dalam satu pertemuan tertutup pada Rabu. – Gambar AFP, 13 Oktober, 2023.

AHLI Republikan di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) secara majoriti memilih Steve Scalise dari Louisiana sebagai calon Speaker parti itu dalam satu pertemuan tertutup pada Rabu.

Pencalonan Scalise bagaimanapun menimbulkan persoalan sama ada beliau mampu mendapatkan 217 undi yang diperlukan untuk memenangi jawatan itu di dewan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Scalise mengalahkan Pengerusi Jawatankuasa Kehakiman Dewan, Jim Jordan dari Ohio dengan undian 113-99 menurut Ahli Republikan yang meninggalkan mesyuarat persidangan Parti Republikan (GOP).

Jawatan itu penting kerana Speaker yang mengusulkan  undang-undang ke Dewan Perwakilan. Tanpa Speaker, penggubal undang-undang tidak boleh meluluskan undang-undang baharu.

Scalise akan menggantikan bekas Speaker Kevin McCarthy dari California yang dipecat daripada jawatannya oleh lapan orang ahli Republikan dan kesemua ahli Demokrat Dewan berikutan usul yang dikemukakan rakan Republikan Matt Gaetz dari Florida minggu lalu. – Bernama, 13 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen