KEJAYAAN Alternative for Germany’s (AfD) dalam pilihan raya negeri di Hesse dan Bavaria baru-baru ini tidak mengubah keadaan memandangkan konservatif yang memerintah dan rakan minoriti mereka mengekalkan majoriti selesa di kedua-dua parlimen tanpa perlu bergantung kepada AfD, lapor Sputnik memetik kenyataan anggota parti itu.
AfD menang besar di kedua-dua negeri, mendahului tiga parti yang membentuk kerajaan campuran di peringkat persekutuan.
Parti sayap kanan itu menduduki tempat kedua di Hesse dan ketiga di Bavaria, ketinggalan jauh di belakang parti konservatif Christian Democratic Union (CDU) dan Christian Sosial Union (CSU).
“Walaupun kami gembira menduduki tempat kedua, mengatasi semua parti yang berkuasa di peringkat persekutuan, tetapi kecewa kerana kemungkinan besar gabungan parti pemerintah sedia ada akan terus memerintah untuk satu penggal lagi, sekali gus tidak boleh mengharapkan sebarang perubahan dasar,” kata Albert Breininger.
Rakan kongsi pakatan persekutuan – Social Democratic Party (SPD) pimpinan Canselor Olaf Scholz, Greens dan Free Democratic Party (FDP) yang properniagaan – mencatatkan prestasi buruk, namun populariti mereka yang semakin ketara tidak akan mengubah keadaan di peringkat wilayah.
Di Bavaria, CSU kanan tengah dijangka terus memerintah dengan sokongan pengundi bebas yang konservatif liberal, manakala parti sekutunya di Hesse, CDU, mungkin menimbang semula pakatannya dengan Greens selepas parti yang mementingkan alam sekitar itu mengalami kekalahan besar dan bakal menguji kedudukannya di peringkat persekutuan.
“Di Bavaria, kemungkinan besar, gabungan yang sama akan kekal berkuasa dan di Hesse saya jangkakan kemungkinan besar gabungan di sana juga tidak berubah,” kata Breininger.
Ahli politik itu mengaitkan kegagalan pakatan persekutuan itu dalam pilihan raya negeri disebabkan rasa tidak puas hati pengundi terhadap dasar ekonomi dan migrasi kerajaan.
Selepas dua tahun berkuasa, kerajaan Scholz bergelut untuk mengekalkan ekonominya selepas menyertai sekatan Barat terhadap Rusia. Negara perindustrian utama di Kesatuan Eropah itu tergelincir ke dalam kemelesetan pada awal 2023 disebabkan harga tenaga yang meningkat serta inflasi yang melambung tinggi. – Bernama, 12 Oktober, 2023.
Komen