KIRA-KIRA 10,000 penumpang terjejas akibat penggantungan mengejut operasi MYAirline pagi ini kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Dalam satu kenyataan, MAHB berkata ia melibatkan 39 penerbangan domestik dan satu penerbangan antarabangsa ke Lapangan Terbang Don Mueang di Bangkok, Thailand.
“Malaysia Airports mengerahkan sumbernya di lapangan terbang berkaitan dalam rangkaiannya untuk menghulurkan semua bantuan yang boleh kepada penumpang MYAirline (Z9) yang terkandas berikutan pengumuman penggantungan operasi mereka awal pagi ini.
“Notis berkaitan diletakkan di terminal dan kakitangan lapangan terbang bagi menawarkan bantuan pilihan penerbangan alternatif oleh syarikat penerbangan lain. Di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), kawasan rehat disediakan di Aras 3 Terminal 2 dan Aras 5 Anjung Tinjau Terminal 1 agar penumpang boleh menunggu penerbangan seterusnya dengan selesa,” katanya dalam kenyataan itu.
Ia berkata penumpang yang tidak berada di lapangan terbang tidak perlu datang ke lapangan terbang dan sebaliknya mencari penerbangan alternatif daripada syarikat penerbangan lain melalui laman web syarikat penerbangan masing-masing.
Awal pagi ini MYAirline mengumumkan ia menggantung operasi sehingga diberitahu kelak.
Setakat ini tiga syarikat penerbangan - Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air - menawarkan bantuan dan diskaun kepada penumpang yang terjejas. – 12 Oktober, 2023.
Komen